Thursday 24 March 2011

RESOLUSI KAJIAN PLUMBUM YS DAN PRN



Oleh: PUSAT RACUN NEGARA

BERIKUTAN perjanjian persefahaman di antara Yayasan Sabah dan Pusat Racun Negara, kajian Keracunan Plumbum telah dimulakan dengan tujuan untuk: mengenalpasti satu tahap pendedahan plumbum kepada kanak-kanak pra-sekolah di kawasan Pantai Barat Sabah; mengenalpasti kawasan tadika yang berisiko tinggi dan mengenalpasti populasi kanak-kanak yang terlibat dengan keracunan plumbum.

Kajian ini merupakan usahasama di antara kedua-dua pihak memandangkan implikasi keracunan plumbum terhadap kanak-kanak pra-sekolah adalah serius. Ia bukan sahaja dapat mengancam kesihatan tetapi boleh juga mempengaruhi tahap perkembangan mental, khususnya daripada segi pembelajaran walaupun pada tahap pendedahan yang agak kecil.

Kajian seumpama ini telahpun dijalankan di banyak negara maju maka dengan itu diharapkan kajian perintis ini dapat memberi satu gambaran yang lebih teliti tentang keadaan sebenarnya di negara kita.

Aktiviti dan Hasil Kajian

Dua (2) kaedah digunakan dalam kajian ini iaitu melalui soalselidik dan juga melalui analisis sampel darah kanak-kanak yang terlibat dengan kajian ini. Sebanyak tiga belas (13) buah tadika di enam (6) daerah Pantai Barat Sabah telah dikenalpasti secara rawak untuk menyertai kajian ini.

Seramai 435 orang pelajar terlibat. Sampel darah telah diambil dan diuji menggunakan alat spektrofotometri serapan atom relau pemanasan bergrafit (Perkin Elmer SIMAA 6000) menggunakan pembetulan latar kesan Zeeman.

Setiap sampel diulangi analisis sekurang-kurangnya tiga (3) kali dan nilai purata digunakan sebagai keputusan terakhir. Apabila kepekatan plumbum didapati melebihi 10 rnikrogam/100 ml, kajian ulangan pengesahan dilakukan.

Hasil kajian yang diperolehi boleh disenaraikan kepada tiga (3) penemuan utama:

* Penentuan tahap pendedahan plumbum menampakkan sebanyak 6.9% daripada sampel darah kanak-kanak yang dianalisa mengandungi plumbum melebihi 10 mikrogram/100 ml berbanding dengan 20.7% antara 5-9.99 mikrogram/100 ml dan 72.4% di antara 0-4.99 mikrogram/100 ml.

* Dari segi kawasan berisiko tinggi berasaskan kepada kepekatan 10 mikrogram/100 ml, tiga (3) kawasan iaitu, Ranau, Kota Belud dan Tuaran boleh dikelaskan sebagai kawasan-kawasan berisiko tinggi dan peratus pelajar yang terlibat dalam ketiga-tiga kawasan ini menunjukkan pendedahan kepada plumbum yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Tadika yang terlibat dalam kawasan-kawasan ini juga telah dikenalpasti. Kepekatan tertinggi dikesan dalam kawasan ini adalah 18.83 mikrogram/100ml.

* Sebagai kesimpulan yang ketiga tentang populasi kanak-kanak berisiko tinggi, kajian ini menunjukkan bahawa peringkat umur mempengaruhi risiko pendedahan plumbum, malah kanak-kanak dalam usia enam (6) tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan peringkat umur yang lebih awal.

Ini menampakkan kemungkinan besar berlakunya pendedahan plumbum secara berterusan dari masa ke semasa. Dari segi suku kaum pula, kanak-kanak daripada suku kaum Kadazandusun banyak terlibat berbanding dengan suku kaum yang lain. Sedangkan daripada segi jantina pula tiada apa-apa perbezaan yang dapat diperhatikan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan walaupun secara umumnya tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak pra-sekolah dianggap sebagai tidak begitu membimbangkan, namun terdapat hampir 7% daripada kalangan kanak-kanak yang dikaji yang memerlukan perhatian yang serius.

Melalui kajian ini juga, daerah serta tadika yang lebih terdedah kepada masalah ini telah dapat dikenalpasti untuk membolehkan tindakan susulan yang segera dilakukan. Selain daripada itu, kelompok-kelompok umur serta suku kaum yang terlibat juga telah dikenalpasti dengan lebih dekat lagi. Ini akan membolehkan pemantauan secara berterusan dilakukan.

Saranan Dan Strategi

Laporan ini mencadangkan beberapa tindakan segera dan susulan di dalam bentuk bengkel mahupun kempen untuk menyedarkan kepada masyarakat yang terlibat tentang masalah keracunan ini serta juga kajian-kajian susulan yang difikirkan amat perlu khususnya kepada 120 kanak-kanak yang mempunyai kepekatan plumbum melebihi 10 mikrogram/100ml.

Kajian ini juga mencadangkan peranan-peranan yang boleh diambil oleh Yayasan Sabah serta juga Pusat Racun Negara dalam membentuk satu kesinambungan jangka panjang untuk membasmi kejadian keracunan plumbum di Pantai Barat Sabah khasnya dan seluruh negeri Sabah amnya.

Jadual Piawaian Kepekatan Plumbum di dalam Darah dan Kesan Pendedahan Plumbum (Sila Klik Imej untuk besarkan)

Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat, 1991

Mengeluarkan Plumbum Dari Tubuh: Bila Rawatan Diperlukan?

Apabila kita berhadapan dengan sesuatu kes keracunan, secara otomatis kita akan bertanyakan ubat penawarnya. Begitulah juga dalam konteks keracunan plumbum, kita ingin tahu jika terdapat ubat-ubatan yang boleh digunakan sebagai penawar.

Dalam hal ini, sememangnya ada beberapa ubat-ubatan yang boleh bertindak sedemikian dan diantaranya termasuklah dimerkaprol, kalsium disodium versenat, penisilamin serta asid dimerkaptopurik.

Keempat-empat agen ini didapati berkesan untuk mengikat dan seterusnya mengeluarkan plumbum melalui buah pinggang atau hati. Namun begitu, ubat-ubatan ini sepertimana juga dengan ubat-ubatan lain ada baik dan buruknya!

Kesedaran ini harus di pupuk supaya pergantungan sepenuhnya kepada ubat-ubatan tersebut tidak berlaku dan langkah-langkah pencegahan lebih dititikberatkan berbanding rawatan.

Ruangan IDPIS kali ini bercadang untuk membincangkan serba sedikit peranan ubat-ubatan dalam rawatan keracunan plumbum dan melihat sejauh mana ianya berguna kepada kita.

Jadual 1: Perbandingan Paras Plumbum dalam Darah dan Langkah-langkah Rawatan yang Patut Dilakukan (Sila Klik Imej untuk besarkan).

Sumber: Postgraduate Medicine, Vol 99 (3), 201-218; 1996

Dimerkaprol (atau nama lain BAL) merupakan ubat penawar keracunan plumbum jenis suntikan yang sering digunakan. Oleh kerana ia disingkirkan melalui sistem hati, ia amat sesuai diberikan kepada pesakit yang pada masa yang sama mengalami gangguan buah pinggang.

Jangkamasa rawatan biasanya selama 5 hingga 7 hari dan boleh diulangi jika didapati perlu. Pesakit yang mengalami penyakit hati, defisiensi G6PD tidak disyorkan mendapat rawatan ini.

Kesan sampingan yang ketara dengan penggunaan ubat ini termasuklah rasa mual, muntah, darah tinggi, degupan jantung pantas, sakit kepala, keresahan, sakit perut dan demam. Terbitannya, iaitu asid merkaptopurik (DMSA) mempunyai sifat yang sama seperti dimerkaprol tetapi dengan kelebihan ianya boleh diberikan secara oral dan kurang toksik.

Kalsium disodium versenat, sejenis suntikan pula amat berguna pada pesakit keracunan plumbum yang juga menghidapi penyakit buah pinggang. Penyingkiran plumbum dikatakan dapat ditingkatkan sebanyak 20 hingga 50 kali ganda.

Jangkamasa rawatan adalah 5 hari dan ini boleh diulang selang masa rehat 2 hingga 3 hari. Penggunaannya telah dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang jika tidak berhati-hati.

Bila diperlukan, ia perlu digunakan bersama dimerkaprol bagi mencegah ensefalopati (sejenis gangguan otak) yang disebabkan oleh pergerakan plumbum dari tisu lembut ke dalam darah.

Satu lagi ubat penawar keracunan plumbum yang dalam peringkat kajian adalah penisilamin. Penisilamin, adalah aktif secara oral dan ia dapat meningkatkan penyingkiran plumbum dari urin.

Namun begitu ia amat tidak sesuai untuk individu yang alah kepada penisilin. Kesan sampingan dilaporkan berlaku pada 20% pesakit dengan masalah seperti ruam, demam, tiada selera makan, loya, muntah, berbagai jenis gangguan darah dan kerosakan buah pinggang.

Ubat-ubatan ini biasanya digunakan pada pesakit yang mempunyai kepekatan plumbum yang tinggi di dalam darah dan pada masa yang sama ada menunjukkan tanda-tanda keracunan.

Kepekatan 10mcg/100ml walaupun diketahui boleh menjejaskan IQ dan mempengaruhi tingkahlaku masih tidak cukup menjadi justifikasi untuk memulakan rawatan ubat. Jadual 1 di atas memberikan langkah-langkah yang disarankan pada pesakit yang mempunyai kepekatan plumbum tertentu di dalam darah.

Pendekatan yang disarankan dalam keadaan dimana paras plumbum dalam darah didapati tinggi:

Jika paras plumbum dalam darah melebih 10mcg/dl, dapatkan sejarah, lakukan pemeriksaan fisikal, uji defisiensi zat besi.

No comments:

Post a Comment