Wednesday 23 March 2011

SAPP TENOM GESA KAJI KEDUDUKAN NCR



JENTERA… Jimmy Jawatah (duduk No.4 dari kiri) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Jentera Pilihanraya SAPP Tenom.

Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah mengalu-alukan kesediaan kerajaan sepertimana yang ditegaskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman baru-baru ini, bahawa beliau akan mengkaji dan meneliti kawasan tanah adat (NCR) yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan kerana Jimmy mengharapkan agar kajian itu menjurus kepada kelulusan untuk menempatkan perkampungan penduduk asal.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini berhubung kes pencerobohan Hutan Simpan Imahit yang membebaskan 6 penduduk Kuala Tomani dari tuduhan itu membuktikan bahawa hak asasi rakyat terhadap tanah NCR tetap utuh.

“Sungguhpun begitu, kita minta kerajaan agar terus mengazetkan mana-mana kawasan tanah NCR itu yang dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan supaya penduduk di kawasan terbabit tidak lagi merasa tergugat kedudukan mereka,” kata beliau lagi.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC, SAPP Tenom berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihanraya bagi Dun Melalap, Kemabong dan Parlimen Tenom di Pejabat Perhubungan parti itu di Tenom sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Beliau menegaskan bahawa masalah tanah NCR yang berada di kawasan Hutan Simpan sepatutnya pihak kerajaan negeri sudah menyelesaikan masalah tersebut lebih awal lagi jika pihak terbabit termasuk wakil rakyat berkenaan melakukan kajian yang serius berhubung perkara itu berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung cadangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai pemberian status kerakyatan ‘Penduduk Tetap’ (PR) tetapi tiada hak mengundi dalam pilihanraya kepada PATI sepertimana tercatat dalam ‘Buku Jingga’ parti itu Jimmy berkata;

“Kepimpinan SAPP menentang dasar itu dan ia suatu cadangan yang tidak relevan dalam keadaan sekarang. Sedangkan kita (SAPP) bertungkus lumus mendesak kerajaan mengusir PATI selain mengadakan kempen memungut tandatangan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PATI,” tegas Jimmy.

Tegasnya, kepimpinan SAPP memandang serius masalah kebanjiran PATI di Sabah yang dianggarkan kira-kira 600,000 dikesan memiliki dokumen sah seperti kad pengenalan dan kerakyatan negara ini.

No comments:

Post a Comment