Monday 21 March 2011

SETUJU HENTI SIAR ARTIKEL FITNAH RAIS



SEORANG penulis blog, yang disaman oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung satu artikel yang didakwa memfitnah beliau, bersetuju berhenti daripada menyiarkan tulisan itu, demikian menurut peguam bagi menteri itu pada Isnin.

Badrul Munir Bukhari, peguam yang mewakili Rais, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Rais bagi menghalang Amizudin Ahmat daripada terus menyiarkan artikel dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com. sehingga saman oleh Rais terhadap Amizudin selesai.

Badrul Munir memberitahu pemberita bahawa permohonan itu dibenarkan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak. Amizudin diwakili peguam Gan Chee Wei. Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk pengurusan kes tersebut.

Pada 2 Feb lepas, Rais berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Amizudin mengeluarkan daripada blognya artikel berkenaan dan gambar Rais.

Hakim juga membenarkan permohonan Rais bagi menghalang Amizudin atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel didakwa berunsur fitnah itu atau yang seumpamanya terhadap beliau sehingga permohonan inter-parte itu selesai.

Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog Amizudin, bersama gambar Rais, sekitar 28 Dis tahun lepas.

Beliau menuntut antara lainnya ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk selain perintah terhadap defendan supaya mengeluarkan daripada blognya artikel itu dan melarangnya daripada terus menyiarkannya.

Dalam kenyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau.

Katanya tulisan itu membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Rais juga berkata tulisan fitnah itu membawa maksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.

Menteri itu berkata bahawa ekoran daripada penerbitan artikel itu, reputasi beliau sebagai seorang individu dan/atau sebagai seorang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercemar teruk, dan membuat beliau malu dan tertekan. Rais telah menafikan alegasi itu selepas seorang penulis blog menamakan beliau.

Ekoran itu, seorang wanita yang pernah bekerja dengan beliau selama lapan tahun, dilaporkan oleh sebuah portal berita Indonesia, telah menafikan yang beliau pernah dilayan buruk atau dirogol oleh majikannya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment