Thursday 10 March 2011

SKANDAL ‘RUBBER-GATE’ ANCAM SABAH?



Oleh: MUTALIB M.D

SKANDAL demi skandal mengotori latar kanvas politik Sabah, namun Skandal ‘Rubber-Gate’ kini semakin membara kerana Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) disifatkan sebagai ‘Lanun Darat’ yang merompak harta penoreh sejak zaman kerajaan USNO lagi.

LIGS ditubuhkan di bawah Ordinan Lembaga Tabung Getah Sabah 1950 (Cap 16) yang kemudiannya digantikan dengan Enakmen Lembaga Tabung Getah Sabah 1981, selama ini disifatkan sebagai ‘Lanun’ yang berselindung di sebalik jawatan Menteri, Adun dan Ahli Parlimen yang mempunyai lesen untuk menipu dan merompak wang penduduk miskin di siang hari; melalui pelbagai peraturan yang ditetapkan dan birokrasi yang sengaja diwujudkan.

Sudah hampir 48 tahun rakyat Sabah menghirup udara merdeka, namun dicemari dengan ‘toksik’ birokrasi dalam LIGS; yang diakui lebih kejam daripada ‘Along’ dengan mewujudkan peluang untuk melakukan penyelewengan dan mencipta ‘mesin yang tidak kelihatan’; semata-mata untuk memerah ‘darah, keringat dan airmata’ penoreh agar dapat diminum oleh pemimpin politik yang mendalangi operasi ‘Haram’ LIGS.

Walaupun getah lebih banyak ditanam di Tenom, Nabawan dan Keningau, namun agak aneh kerana Kilang Getah LIGS dibina di Beaufort sehingga menyebabkan ‘Lanun’ mudah menghirup darah rakyat melalui kos pengangkutan dan pelbagai caj yang tidak berpatutan; sehingga penoreh hanya dapat minum ‘kuah sup’ kerana semua isi telah dilahap oleh ‘Lanun Darat’ ini.

Tidak cukup dengan itu, isu tanah adat di kampung Paguokon, Tenom yang telah diusahakan oleh Anak Negeri Sabah sejak sekian lama kini mahu dirampas oleh LIGS setelah getah yang diusahakan pekebun kecil getah telah mengeluarkan hasil.

Walaupun Industri getah negara menyumbang RM33 bilion kepada pendapatan Negara pada 2010, iaitu meningkat 32 peratus berbanding hanya RM25 bilion pada 2009, namun kenaikan harga komoditi tersebut di peringkat global bagaikan ‘Cerita 1001 Malam’ bagi penoreh di Sabah.

Peningkatan harga getah gred SMR20 kini mencecah RM16.57 sekilogram, paras harga tertinggi yang belum pernah dicapai sebelum ini, namun pekebun kecil getah di Sabah bagaikan pengemis jalanan yang terpaksa meraung dan merintih di rumah jutawan yang bukan sahaja berpagar, berCCTV, malah bersedia melepaskan anjing garang untuk menyerang ‘pengemis miskin’ yang dimiskin oleh sistem pemasaran LIGS yang berasaskan ‘Pirate of Carribean’.

Ketika pendapat pekebun kecil getah di semua tanah rancangan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperoleh pendapatan RM15,000 sebulan daripada tanah mereka seluas dua hektar sahaja, iaitu pada kadar purata RM496 sehari berdasarkan 80 kilogram hasil getah berdasarkan harga RM6.20 sekilogram pada Januari 2010.

Namun ketika kedudukan harga tertinggi susu getah pada hari ini RM12.45 sekilogram; getah kepingan RM9 sekilogram; getah beku (cuplump) RM6.55 sekilogram dan skrap RM2.90 sekilogram; pekebun kecil getah Sabah masih berperang dengan LIGS yang mengambil masa yang lama untuk membayar harga getah yang telah dibeli daripada mereka.

Tindakan pekebun kecil menjual getah kepada ‘orang tengah’, ibarat ‘mencuri wang’ dalam kocek sendiri kerana peraih luar sentiasa mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan segera; ibarat membeli padi dengan harga yang murah sebaliknya menjual beras dengan harga yang mahal; atas alasan untuk menutup kos operasi.

Pakar ekonomi meramalkan pada 2020, harga getah akan meningkat RM16.46 sekilogram, namun skima harga pasaran yang dijanakan oleh LIGS akan menyebabkan para penoreh dan pekebun kecil getah di Sabah terus terperosok di penjara kemiskinan yang diwujudkan oleh LIGS demi kepentingan kroni dan proksi yang mendalangi operasi LIGS selama ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi sebelum ini pernah membuat teguran beberapa kali, namun bagaikan ‘telinga kuali’, LIGS tidak pernah berusaha untuk mendengar dan menyelesaikan masalah yang timbul akibat ketidak cekapan LIGS mentadbir urus harga dan menjaga kebajikan pekebun kecil getah.

“Tindakan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menangguhkan bayaran pembelian getah dari penduduk kampung di daerah ini ‘amat kejam’ dan tidak professional langsung kerana bukan sahaja membebankan pekebun kecil getah, malah menyebabkan wujud lebih ramai rakyat miskin di Sabah,” kata Raime yang mendesak agar LIGS mencontohi skima RISDA dalam mengendalikan pasaran dan pemasaran getah.

Kata Raime, dalam zaman sains dan teknologi, ketika urusniaga berlaku secara on-line dan maklumat berada di hujung jari, tindakan LIGS menangguhkan pembayaran harga getah antara dua minggu hingga sebulan adalah tindakan paling kejam yang dilakukan agensi kerajaan seperti LIGS.

"Keadaan ini perlu diperbetulkan dan ia penting bagi memastikan isu bayaran itu tidak dimanipulasikan oleh orang tengah dengan menurunkan harga apabila membeli getah pekebun berkenaan. Saya minta hentikan segera kezaliman ini sebelum rakyat membalasnya pada pilihanraya umum akan datang," ujar Raime yang mendesak kerajaan Negeri Sabah campurtangan bagi menyelesaikan kemelut LIGS yang diibaratkan rakyat seperti ‘Dracula’ yang menghisap darah di waktu subuh selepas penoreh getah selesai menoreh.

Kelewatan bayaran ini, kata Raime, boleh disifatkan sebagai ‘Sabotaj’ LIGS terhadap ekonomi negara dan sewajarnya dihentikan segera bagi mengelak ‘penyangak ekonomi’ mengambil kesempatan membeli getah terus daripada pekebun kecil dengan harga yang rendah; terutama kerana desakan hidup, yang menyebabkan mereka terus terpenjara di dalam lingkungan putaran ganas kemiskinan.

Sehubungan itu, Raime mendesak agar LIGS mencontohi RISDA, FELDA dan agensi Kerajaan Persekutuan menubuhkan anak syarikat untuk membeli dan memasarkan hasil getah keluaran pekebun kecil dan membuat bayaran segera bagi menghindarkan Sabah terus berada di tangga tercorot sebagai negeri paling miskin di Malaysia.

Dalam hal ini, kata Raime, tidak dapat tidak, kos pengangkutan dan kos pengurusan wajib dikurangkan dan menggesa agar LIGS mendirikan kilang memproses getah di Tenom atau Keningau atau memindahkan kilang berkenaan daripada Beaufort.

“Inilah masanya LIGS membalas jasa pekebun kecil yang miskin yang bukan sahaja menyebabkan LIGS terus maju, malah BN akan terus memerintah Sabah dengan sokongan padu mereka. Tetapi masihkah mereka menyokong BN jika LIGS terus menzalimi mereka?,” tanya Raime yang agak kesal dengan sikap ego LIGS dalam isu penting ini yang mungkin akan menggelincirkan peluang BN mempertahankan kerusi parlimen Tenom, Pensiangan dan Keningau ekoran peristiwa ini pada pilihanraya umum akan datang.

15 comments:

  1. harga getah sekrang melambung tinggi pembayaran lewat oleh LIGS membantutkan perkembangan pekebun2 kecil getah. LIGS seharusnya lebih efisien dan mempercepatkan pembayaran mereka kepada pekebun getah.

    ReplyDelete
  2. Getah semakin naik harga, tp LIGS buat perangai pla. Bagaimana pekebun2 getah ini mahu maju. Hasil getah utk myara keluarga & utk mbiaya pkembangan kebun getah. Harap2 LIGS mencontohi RISDA & FELDA.

    ReplyDelete
  3. harap LIGS dapat menyelesaikan sebarang kesulitan yang timbul.

    ReplyDelete
  4. This is why the government switch the two directors, maybe the new directors can bring LIGS around.

    ReplyDelete
  5. Jika getah telah diberikan tapi pulangan lambat, maka bagai mana penoreh mahu guna untuk belanja harian mereka.

    ReplyDelete
  6. Harap LIGS dapat menyelesaikan masalah kelewatan dalam pembayarkan kepada penoreh dan biarlah harga getah itu berpatutan.

    ReplyDelete
  7. masalah yang dihadapi oleh LIGS ini sudahpun mendapat perhatian ketua menteri Sabah. Yahya Husin juga sudah mengarahkan supaya melakukan pertukaran lembaga pengarah antara LIGS dan KPD. saya harap langkah itu akan mampu memperbaiki prestasi LIGS sekaligus menyelesaikan masalah2 pekebun kecil getah.

    ReplyDelete
  8. 'hantu2' itu harus disiasat.

    ReplyDelete
  9. isu ini sudah mendapat perhatian KM dan rombakan akan dilakukan.

    ReplyDelete
  10. kebajikan penoreh getah kecil harus diperjuangkan.

    ReplyDelete
  11. Telampau juga tamak, sampai kebajikan penoreh pun tak dipedulikan. huhu

    ReplyDelete
  12. lanun di ligs ni memang patut dikenakan tindakan biar jadi pengajaran. Siapa suruh buat hal kan..

    ReplyDelete
  13. Tapi CM dah campur tangan dan rombakan dah dibuat. Jadi kita harapkan agar rombakan ini membuahkan hasil positif.

    ReplyDelete
  14. Semoga rombakan yang dibuat memberi pengajaran pada setiap individu utk lebih prihatin dan terbuka mendengar permasalahan rakyat.

    ReplyDelete
  15. Jadi, kita tunggu dan lihat sajalah nanti. Semoga semuanya berjalan dengan baik.

    ReplyDelete