Wednesday 23 March 2011

UMNO TUNTUT KERUSI MEROTAI DARI LDP



Oleh : MICHAEL KAUNG

DESAKAN dari para pemimpin, ahli dan penyokong Umno agar kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai yang kini disandang oleh Parti Demokratik Liberal (LDP) dikembalikan kepada Umno mendapat sokongan dari Badan Bertindak Belia Pencinta Nusa (Cintanusa).

Pengerusinya, Zulkarnain Mahdar, berkata Cintanusa akan hantar memorandum beserta ribuan tandatangan daripada ahli dan penyokong Umno kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Merotai adalah kubu kuat BN dan terutama sekali Umno sejak BN mengambil alih tampuk kerajaan negeri dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam tahun 1994.

Tambah Zulkarnain, mamandangkan, majoriti pengundi kawasan itu terdiri daripada warga Bumiputera Islam, maka adalah wajar Dun Merotai dikembalikan kepada Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke13 kelak.

“Lagi pun sebelum ini kerusi tersebut telah diperuntukkan kepada Umno, maka sudah tiba masanya kepimpinan BN mengembalikan semula kerusi tersebut kepada Umno.

“Kita berharap kepimpinan BN dapat mendengar suara hati rakyat di kawasan Merotai yang inginkan wakil Umno dapat dijadikan calon pada PRU ke 13 akan datang,” kata Zulkarnain dalam satu kenyataan akhbar di sini kelmarin.

Pada PRU 2004, kerusi Dun Merotai diberikan kepada LDP yang dimenangi oleh Datuk (sekarang Tan Sri) Liew Yun Fah sebagai calon BN.

Namun, semasa PRU 2008 Liew yang pada ketika itu menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan Negeri digugurkan oleh LDP dan menamakan Pang Yuk Ming sebagai calon BN. Liew bertindak keluar dari LDP dan kemudiannya menyertai parti Gerakan.

Pang berjaya mempertahankan kerusi itu dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kanan Umno di sini, termasuk Abdul Ghapur Salleh telah meminta kepada pucuk pemimpin BN agar Merotai dikembalikan kepada parti itu.

Kerusi itu hanya ‘dipinjamkan’

Alasan yang diberikan oleh para pemimpin Umno di sini adalah kerusi Dun itu hanya ‘dipinjamkan’ kepada LDP.

Dalam perkembangan lain, Ghapur yang juga Ketua Bahagian Umno Kalabakan menyelar tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan surat layang di kawasannya serta memperkecil-kecilkan usaha Umno dan BN.

Beliau tidak menolak kemungkinan individu tertentu yang melakukan hal tersebut terdiri daripada mereka yang bercita-cita mahu menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

“Jangan jadi batu api. Kalau mahu jadi calon, sepatutnya mereka bersama-sama Umno dan BN berjuang serta bekerja keras membela nasib rakyat,” tegas Ahli Parlimen Kalabakan itu yang mahu supaya penyebaran surat layang itu dihentikan segera.

No comments:

Post a Comment