Sunday 10 April 2011

APRESIASI BUDAYA MELALUI LUKISAN



HADIAH….Bobbey menyampaikan hadiah kepada johan melukis tahap dua Mohamad Fitri dari SK Pulong, turut disaksikan Yaman (kiri).

Oleh : HASSAN DALIMPOS

LUKISAN adalah tanda ekspresi perasaan seseorang murid tentang keagungan budaya yang diamalkan sejak turun-temurun bagi etnik di negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Bobbey A Suan berkata, lukisan yang dilukis oleh murid atau seseorang pelukis merupakan ekspresi perasaannya tentang budaya atau tujuan objek itu sebenarnya.

“Pelukis akan menerangkan imej dalam lukisan mengenai perasaan kecintaannya tentang budaya atau amalan sesuatu bangsa terutamanya agar dapat difahami oleh orang lain,” kata Bobbey ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan melukis tahap satu dan tahap dua di bangunan SEDCO Tenom sempena Pesta Kalimaran pada sabtu.

Beliau yang juga Adun Nabawan berkata, melukis adalah salah satu aktiviti yang sangat baik dan memberi peluang kepada murid-murid agar menonjolkan kemahiran melukis kerana ia juga merupakan subjek yang diajar di sekolah.

"Pertandingan ini memberi peluang kepada murid untuk menonjolkan nilai-nilai kebudayaan, persembahan, kraftangan dan nyanyian etnik Murut melalui ekspresi lukisan yang dihasilkan para peserta,” katanya.

Selain itu, ia memberi peluang kepada murid-murid untuk menyertai dan mendapatkan hadiah yang disediakan oleh ahli jawatankuasa yang dikendalikan oleh Balai Seni Lukis Sabah bersama Jabatan Pelajaran Daerah Tenom sempena Pesta Kalimaran.

Pertandingan itu disertai kira-kira 100 murid sekolah rendah tahap satu dan dua yang dimenangi oleh Mohamad Fitri dan turut disaksikan Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Datuk Yaman Ahmad Mus.

Dalam pada itu, Bobbey berkata, Pesta Kalimaran yang diraikan pada tahun ini yang logiknya dilaksanakan di pekan Tenom kerana ramai orang boleh berkunjung ke situ, di samping Pusat Kebudayaan Murut Pulong sedang dinaiktaraf dan sedang dalam pembinaan, justeru itu pesta itu nampak meriah kerana ramai orang yang datang dari daerah terdekat malah yang jauh kerana suka akan budaya yang ditonjolkan etnik Murut.

Bobbey turut mengucap berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi peruntukan kepada pelaksanaan Pesta Kalimaran yang menelan kos pembiayaan yang agak tinggi, pesta itu juga memberi peluang kepada rakyat untuk mempamer dan menjual hasil-hasil pertanian, kraftangan dan makanan tradisi kepada orang ramai.

Katanya, Pesta Kalimaran yang diadakan setiap tahun adalah merupakan pesta di negeri Sabah yang telah direkodkan dalam kalendar dan ia merupakan satu kebangaan suku itu kerana mendapat perhatian pemimpin nombor satu negeri ini terutamanya Ketua Menteri Datuk Musa Aman yang merasmikan pesta tersebut pada setiap tahun.

Pesta Kalimaran telah berlangsung selama 4 hari bermula pada 7 April hingga 10 April 2011 di pekan Tenom dengan kehadiran puluhan ribu orang ramai, pelbagai aktiviti dan acara menarik dijalankan termasuklah pertandingan nyanyian Murut, Ratu Kalimaran, persembahan kebudayaan, sukaneka dan pameran agensi-agensi kerajaan serta gerai-gerai jualan oleh penduduk tempatan turut diadakan.

No comments:

Post a Comment