Friday 1 April 2011

BERAPA RAMAI YB ‘TUNGGUL KAYU’ DI SABAH?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

KENYATAAN penuh kontroversi Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad yang menggesa rakyat Malaysia supaya berfikir dengan penuh hikmah sebelum mengundi pada PRU12 lalu dan menolak jika calon itu hanya ‘tunggul kayu’ dan ‘rasuah’ sekalipun mereka mewakili BN; sehingga hampir menggelincirkan BN daripada tampuk kuasa, jika mereka tumpas di Sabah dan Sarawak.

Kini pilihanraya DUN Sarawak akan berlangsung pada 16 April dan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu memastikan calon yang bakal diturunkan membawa panji-panji BN bukan ‘tunggul kayu’ balak yang telah ditebang ‘kroni’ Taib Mahmud menjelang penamaan calon pada 6 April ini.

Namun isu penting di sini ialah senario politik di Sabah yang semakin tidak ketentuan kerana riwayat hidup pembangkang di Sabah hanya secara bermusim dan bukan parti sepanjang zaman; apatah lagi banyak parti pembangkang di Sabah boleh dikategorikan sebagai parti ‘PPRT’, yang bukan sahaja ‘menggonggong’ ala kadar; malah ‘mencuri makan’ dengan cara meminta ehsan parti memerintah, dengan alasan tiada dana daripada parti mereka dan mengkritik secara ‘olok-olok’ agar BN mendapat peruntukan yang lebih daripada Kerajaan Persekutuan.

Ketiadaan parti pembangkang yang kuat di Sabah sekalipun kelemahan yang begitu ketara di kalangan ADUN dan Ahli Parlimen BN, menyebabkan rakyat semakin bingung kerana pemimpin ‘Parti Nyamuk’ mula berdengung dan pemimpin ‘Parti Katak’ mula melompat dari satu parti ke satu parti untuk mendapat jaminan menyambar habuan ketika pilihanraya di ambang pintu.

Natijahnya, rakyat Sabah mungkin terpaksa memilih ‘Tunggul Kayu’ yang sudah mula mereput dan tidak berguna melainkan untuk tempat cendawan tumbuh, sehingga nasib mereka akan terus ‘bercendawan’ selama lima tahun akan datang; menunggu janji ‘Tunggul Kayu’ reput untuk berkhidmat kepada rakyat.

Faktor ‘Fixed Deposit’ yang diwar-warkan Kerajaan BN dan cuba dimanfaatkan parti pembangkang dengan menawarkan kerakyatan kepada PATI yang cuba dipam keluar melalui lubang tandas ‘Task Force’ yang ditubuhkan secara ‘HARAM’ di Sabah; akan menjadi detik penentu dan arah tuju politik Sabah untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.

Pemimpin ‘Tunggul Kayu’ BN yang diresapi ‘Sindrom Pokok Pisang’ iaitu ‘suka mencantas anak-anak pisang yang mula tumbuh’ dan dalam masa yang sama enggan berundur walaupun buah sudah habis dan hanya mempunyai tandan buruk; semakin bimbang lalu bertanya kepada diri sendiri, “mungkinkah pisang berbuah dua kali?”

Pilihanraya Sarawak akan menjadi detik penentu, apakah Najib akan mendengar nasihat Mahathir setelah Abdullah Ahmad Badawi (Tun) ‘kecundang’ pada pilihanraya umum lalu, sehingga kehilangan majoriti dua pertiga kerana menganggap pesanan Mahathir sebagai ‘Kentut Sekang’ (Kadarau atau Saddui); yang bukan sahaja busuk malah berbau busuk lagi membusukkan dan jijik lagi menjijikkan.

Akan berbahagiakah Taib Mahmud (Sindrom Pokok Pisang) jika Najib enggan menerima senarai calon yang dikemukakannya dan mahukah Taib menerima calon pilihan Najib yang disifatkan seperti memukul anak untuk menyindir menantu?

Mengikut sumber rapat dengan Najib, pada pilihanraya penentu kepimpinan Najib setelah BN kehilangan moral kerana tewas dalam beberapa pilihanraya kecil di peringkat awal pemerintahannya, modus operandi dan kriteria pemilihan calon akan diubah secara drastik bagi memastikan bukan sahaja tidak ada ‘Tunggul Kayu’ malah ‘Pokok Pisang’ akan turut disingkirkan

Namun dengan kedudukan Taib Mahmud yang kaya raya dan telah memfaraidkan Sarawak kepada anak, cucu dan suku sakat beliau; Najib mungkin menghadapi masalah dengan pelan peralihan kuasa Taib yang ‘entahkan bila’ dan bergantung kepada keputusan pilihanraya umum negeri Sarawak.

Jika Taib berjaya memastikan BN terus unggul di Sarawak, maka adalah tidak mungkin Najib menebang pokok pisang yang bertandan buruk dan tidak produktif lagi; tambahan pula daripada benih pisang bertandan buruk inilah lahirnya kemenangan BN.

Sukarnya Najib membuat keputusan untuk menyingkirkan Taib, sama sukarnya dengan tindakan beliau untuk menyingkirkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang gagal menjalankan tugas membangunkan Sabah melalui kementerian yang amat penting bagi memastikan ‘Fixed Deposit’ BN di Sabah terus kukuh; sekukuh dana dan kekayaan negeri Sabah yang tidak dapat ditandingi negeri lain di Malaysia.

Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa; maka Najib terpaksa bermain layang-layang dengan kedua pemimpin BN ini; terutama Taib yang ‘kebal’ dan mendapat ‘Suaka’ politik daripada Amerika, Russia dan China bagi melindungi kepentingan mereka di Sarawak.

Manakala Shafie yang merupakan ‘Bro’ kepada Najib selama ini, tersilap langkah dalam isu Skandal Video Lucah yang dikatakan melibatkan pemimpin pembangkang kerana rakyat menuding jari kepada beliau disebabkan bapa mertua, pengerusi GLC dan kontraktor utama yang berurusan dengan beliau, terlibat secara langsung dalam skandal berkenaan; sehingga Anwar tanpa segan silu menuduh Najib dan Hishamuddin sebagai dalang di sebalik skandal berkenaan.

Shafie yang disingkirkan UMNO Kedah kini semakin sesat mencari jalan pulang ke Sabah sekalipun masih bermimpi untuk kembali ke Sabah jika berjaya menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman melalui petualangan LDP.

Sebaliknya Musa yang semakin kukuh kedudukannya dalam politik Sabah dan mendapat sokongan moral Najib dan Muhyiddin Yassin, tidak mungkin dapat disingkirkan Shafie daripada tampuk kuasa; sekalipun melalui pembelotan beberapa ADUN dan Ketua Bahagian yang makan di rumah Shafie tetapi ‘berak’ di rumah Musa.

Perancangan demi perancangan yang dibuat Shafie semakin buntu kerana ‘bala tenteranya’ tidak mempunyai ‘Kuda Tunggangan’ yang hebat untuk merempuh kubu Musa yang mempunyai ‘Saiwar’ dan dibentengi kebijaksanaan para penasihatnya yang terdiri daripada pelbagai golongan masyaraka.

Perlantikan Mantan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Rahim Ismail, satu-satunya 'Kuda Tunggangan' Shafie sebagai Pengerusi sebuah GLC Risda, namun Rahim yang bagaikan kuda patah kaki tidak mampu berlari laju, ibarat menaruh garam ke luka persengketaan antara Shafie dengan Musa.

Musa kini mampu ‘menyengat seperti lebah’ dan ‘berbisa seperti tedung selar’ semakin yakin untuk memperkasa ekonomi Sabah setelah berani berkata benar kepada Bank Dunia bahawa Sabah adalah negeri miskin kerana pembangunan tidak seimbang; terutama di kawasan Pitas dan Pensiangan yang belum dijamah pembangunan dan urbanisasi.

Sekalipun Sabah adalah negeri terkaya di Malaysia kerana mempunyai dana surplus yang cukup besar, namun memandangkan tugas untuk membangunkan Sabah terletak di bawah tanggung jawab Kerajaan Persekutuan; dan Musa merasakan mengkhianati amanah rakyat Sabah jika membelanjakan wang negeri untuk pembangunan Sabah; maka kegagalan membangunkan Sabah terletak di atas bahu Shafie yang kini semakin lena bermimpi bulan dan bintang; setelah semua projek Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kini diletakkan di bawah potfolio Muhyiddin Yassin.

Dengan kedudukan Shafie kini yang bagaikan menjaga ‘telaga buta’ yang kekeringan air, adalah malapetaka besar kepada perjuangan politik nepotisme dan sentimen perkauman yang sempit; maka kuasa penentu politik Sabah kini dalam genggaman Musa untuk tempoh sekurang-kurangnya empat penggal akan datang!

Bak kata pepatah, membujur lalu, melintang patah. Para penentang dan musuh politik Musa terpaksa akur dengan kecemerlangan Musa dalam politik, bukan kerana kebijaksanaan Musa secara total; tetapi kerana Musa mempunyai kuda hebat yang gagah dan ‘komando’ (I Command You Do) yang ‘berani gagal’ untuk melibaskan mata pedang politik tanpa kelihatan dengan mata kasar; bagaikan keunggulan Shogun Tokogawa di zaman awal kebangkitan Jepun.

Kata Najib, kerajaan 1Malaysianya tidak akan berjanji apa-apa kepada rakyat kerana janji mungkin akan dimungkiri, sebaliknya akan terus menabur budi kerana budi dikenang sampai mati.

Mungkinkah rakyat Sabah akan mengenang budi Musa yang berjaya membuka mata pemimpin Malaysia bahawa Sabah memerlukan dana pembangunan lapan kali lebih besar daripada Selangor kerana Sabah berpeluang maju dalam masa 10 tahun akan datang; memintas negeri maju di Semenanjung Malaysia jika semua agensi Persekutuan di Sabah memahami aspirasi rakyat Sabah dan tidak membawa budaya hutang budi tergadai ‘body’!

No comments:

Post a Comment