Saturday 2 April 2011

BUKU JINGGA MENGHANTUI RAKYAT SABAH?



Saudara Pengarang,

SENARIO politik di Malaysia sekarang ini sudah tidak menentu, baik di pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang kerana seringkali berbalas pantun; sehingga ada yang mengatakan pihak lawan sebagai jembalang dan memang agak melucukan kerana ada yang menyebarkan fitnah menerusi video seks.

Isu ini memang memuakkan, namun pada hakikatnya, tuntutan rakyat Sabah untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) berhubung dengan PATI di Sabah pula tidak dibahas sepenuhnya dalam media mahupun daripada pihak pemerintah sendiri.

Kemelut yang melanda warga tempatan tidak habis di situ kerana ramai di antara warga tempatan dinafikan hak mereka sebagai pemilik tanah adat dengan merampas tanah mereka. Baru-baru ini heboh dibincangkan di satu laman sosial facebook ‘1Suara Sabah’ bahawa tanah adat penduduk tempatan di satu kawasan sekitar Kalabakan yang didiami suku Murut telah dirampas.

Kita juga tahu, bagi membangunkan sesebuah negara kadang-kadang kerajaan akan mengambil tanah dari penduduk tempatan kerana jika tidak demikian, bagaimana hendak membina prasarana untuk kegunaan semua. Namun demikian, ada prosedur tertentu terutama pembayaran pampasan kepada penduduk yang terlibat.

Tetapi lain pula senario yang berlaku di Sabah kerana tanah dirampas bukan untuk membangunkan atau membina prasarana, namun untuk kepentingan orang tertentu. Memang sungguh tidak adil.

Gelombang politik dari seberang pula bertiup kencang ke Sabah dan semakin diterima rakyat kerana rakyat Sabah haus dengan pembangunan terutama di kawasan pedalaman.

Padi yang ditabur di tapak semaian oleh parti pemerintah pada PRU-12 tidak tumbuh kerana hujan tidak turun, kemarau melanda. Pakatan Rakyat adalah harapan baru bagi rakyat Sabah selain daripada parti pembangkang yang lain seperti SAPP.

Keghairahan rakyat Sabah semakin membuak-buak sehinggakan dalam forum-forum laman web sosial, sibuk menghentam kerajaan kerana tidak ada ruang lain bagi mereka meluahkan perasaan. Namun keresahan pula timbul selepas Pakatan Rakyat mengatakan dalam ‘Buku Jingga’ mereka, terdapat artikel yang menyatakan pemberian taraf penduduk tetap (maaf kalau tersilap) kepada PATI ini amat merungsingkan dan membuat rakyat Sabah jadi keliru; seolah-olah terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut naga.

Oleh itu kita berharap agar Pakatan Rakyat menerangkan dan menjelaskan kepada akyat Sabah agar kami faham dan kenyataan itu perlu disingkirkan dalam Buku Jingga dan membantu dalam penubuhan SSD bagi menyelesaikan isu PATI.

Salam Hormat,

LOPUNG

No comments:

Post a Comment