Saturday 9 April 2011

ESPLANADE ATAU EXPLOITASI?



Oleh : CHESTER PANG

KEADAAN projek di Esplanade Sipitang begitu menghayat hati apabila keadaan papan jeti telah rosak walaupun baru sahaja disiapkan kira-kira tiga bulan yang lalu.

Ketua Pemuda SAPP, Nazib Maidan telah ke lokasi untuk meninjau sendiri keadaan jeti Esplanade berkenaan selepas menerima banyak aduan daripada pengunjung serta peniaga-peniaga gerai yang berdekatan.

Hasil tinjauan tersebut mendapati bukan sahaja papan jeti yang telah rosak malah, sebahagian daripada tiang jeti telah mula condong. Tahap keselamatan para pengunjung terutamanya kanak-kanak juga dipersoalkan kerana pagar jeti menghala ke laut hanya dipagar dengan seutas dawai.

Najib Maidan berkata, memandangkan projek berkenaan baru disiapkan maka ianya masih berada dalam jaminan pemaju. Justeru itu, pihak Kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kadar yang segera sebelum ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Nazib turut mempersoalkan rekaan Esplanade yang tidak mesra pengguna dan peniaga. Sekiranya hujan atau cuaca panas, pengunjung tidak mendapat perlindungan dan para peniaga terpaksa menggunakan khemah mudah alih sebagai kaedah sementara sebagai pelindung kepada pengunjung.

Keadaan lantai antara gerai dan laluan Esplanade juga tidak dikonkrit sepenuhnya menyebabkan persekitaran yang tidak selesa kerana meja makan pelanggan diletakkan di atas tanah berkenaan.

Seorang peniaga Sate yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka menyewa lot gerai tersebut dengan kadar RM400 sebulan dan telah memulakan perniagaan sejak 2 bulan yang lalu.

Beliau terpaksa membeli khemah tambahan kerana pelanggan yang berkunjung tidak mempunya atap berteduh sekiranya hujan atau cuaca panas. Malang sekali sejak akhir-akhir ini angin kencang sering bertiup sehingga khemah sementara rosak dan patah.

Projek Esplanade Sipitang telah dibina dengan peruntukan RM10 Juta dan kerja pembinaan telah dimulakan dalam tahun 2008. Minggu lepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Hj. Aman telah mengadakan lawat mengejut ke Esplanade tetapi sehingga hari ini belum ada sebarang khabar berita.

Sehubungan itu, Pemuda SAPP menggesa agar pihak berwajib seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Sipitang supaya sentiasa memantau segala projek yang sedang berjalan agar kejadian seumpama ini tidak berulang kerana Esplanade ini seolah eksploitasi peruntukan yang berunsurkan rasuah!.

No comments:

Post a Comment