Thursday 7 April 2011

EWAH-EWAH SAYANG PELUANG TONJOL BAKAT



PENGHARGAAN….Japlin menerima cendera kenangan dari Pengarah Perpaduan Nurul Akmalina selepas merasmikan majlis tersebut.

Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

IBU BAPA perlu memberi penekanan terhadap kepentingan peranan pendidikan awal anak-anak dalam usaha menyediakan mereka untuk memasuki pendidikan formal kelak.

Pembantu Menteri Pembangunan Insfrastruktur, Datuk Japlin Akim berkata, kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan mahu menerokai perkara baru.

Katanya.pada peringkat usia sebegini biasanya kanak-kanak sentiasa mempunyai keinginan ingin tahu dan teruja dengan perkara baru malah mereka juga mudah menerima dan meniru apa yang dilakukan orang dewasa.

''Dalam setuasi sebegini, peranan kita sebagai ibubapa kita perlu membimbing dan mendidik mereka dengan sewajarnya kerana proses pembelajaran perlu dimulakan ketika ini," katanya semasa berucap merasmikan program ‘Ewah-Ewah Sayang’ Tabika Perpaduan Peringkat Daerah Kota Belud dan Ranau di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak, Kota Belud.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Sabah Nurul Akmalina Haji Shamsuddin, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Hamdan Haji Sarudin, Pegawai Perpaduan Daerah Ranau Lestari Said dan Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Bisi Jamit.

JOHAN…Tabika Perpaduan Kampung Pirasan yang menjadi johan keseluruhan mengabadikan gambar kenangan bersama Japlin selepas majlis tersebut

Sehubungan itu, Japlin yang juga Wakil Rakyat Kawasan Usukan berkata, ibu bapa perlu menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan anak-anak mereka melalui proses pembelajaran yang sempurna.

''Kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal lagi dan di sinilah ibu bapa dan guru-guru tadika memainkan peranan dalam mencorak masa depan mereka," ujarnya.

Mengulas program tersebut beliau berkata ia merupakan platform bagi kanak-kanak menonjolkan bakat serta potensi mereka untuk berhadapan dengan orang ramai dan sekali gus merupakan penyuntik semangat untuk belajar dan menunjukkan bakat mereka tersendiri.

“Program ini merupakan asas untuk melatih anak-anak bersikap kreatif dan inovatif serta melatih mereka berani berhadapan dengan masyarakat sekeliling dan ini dapat membentuk semangat mereka sebelum memasuki alam persekolahan iaitu di peringkat sekolah rendah nanti” tambah Japlin

Sementara itu Tabika Perpaduan yang mewakili kampung Pirasan muncul sebagai johan dalam bahagian tarian yang dipertandingkan sempena program tersebut

No comments:

Post a Comment