Friday 15 April 2011

FILIPINA DISARAN TUBUH KONSUL DI SABAH



Oleh : BERNAMA

MALAYSIA mengulangi saranan agar Filipina membuka pejabat Konsul Jeneral di Kota Kinabalu, Sabah untuk menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat negara itu di negeri itu.

Perkara itu dibangkitkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) ketujuh di Manila, Filipina yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. Del Rosario.

Kedua-dua kerajaan bersetuju pada JCM Malaysia-Filipina kedua dalam tahun 1995 mengenai pembukaan Konsul Jeneral Filipina di Kota Kinabalu dan Konsul Jeneral Malaysia di Bandaraya Davao, menurut kenyataan Wisma Putra di sini.

Konsul Jeneral Malaysia di Bandaraya Davao dibuka pada 7 Disember 1995.

Wisma Putra berkata mesyuarat di Manila itu mewujudkan satu momentum yang baik untuk kemajuan dan produktif kerjasama dua hala di mana kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan ke arah mengukuhkan lagi kerjasamanya dalam pelbagai bidang.

"Antara bidangnya ialah politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, pertanian, pelancongan, pendidikan, kesihatan, penerangan, komunikasi dan kebudayaan, perkhidmatan udara dan perkara-perkara konsular," katanya.

Dalam hubungan ini, kedua-dua pihak bersetuju mempercepatkan beberapa perjanjian dua hala dan memorandum persefahaman yang tertangguh untuk dimuktamadkan.

"Bagi membina kemajuan dalam hubungan dua hala perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, menteri-menteri berkenaan bersetuju bahawa kedua-dua pihak akan merangka amalan dan sasaran yang dicapai untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam dua bidang itu.

"Ini adalah tambahan untuk langkah amalan yang akan diambil untuk mengukuhkan kerjasama sektoral dan kedua-dua menteri berseutju untuk mengerakkan dan menyelaraskan JCM dan mekanismenya," kata beliau.

Wisma Putra juga berkata Manila menghargai pelbagai bentuk bantuan teknikal yang disediakan Malaysia kepada Filipina, yang mengiktiraf sumbangan penting dalam proses kedamaian antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Malaysia dijadual menjadi host JCM pada 2013.

No comments:

Post a Comment