Sunday 10 April 2011

INSENTIF UNTUK MAJUKAN PELAJAR



SEMANGAT……Japlin diiringi oleh YDP PIBG SK Kulambai memerhatikan kain rentang hadiah utama tiket penerbangan Air Asia Kota Kinabalu Jakarta bagi para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR Tahun 2011.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

MATLAMAT pendidikan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) boleh dicapai jika guru dan ibu bapa terus berusaha memastikan para pelajar mencapai tahap akademik yang memberangsangkan.

Pembantu Menteri Pembangunan Insfrastruktur, Datuk Japlin Akim berkata, pihak guru dan Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) termasuk ibu bapa pelajar perlu memainkan peranan untuk mencari jalan bagi mempertingkatkan lagi mutu pencapaian akademik anak masing-masing.

Menurutnya, ini kerana ibu bapa mempunyai hubungan yang rapat dengan anak-anak dan mereka perlu memastikan anak masing-masing bersedia ke arah itu.

“Peranan guru pula, mereka boleh mengambil kesempatan daripada peranan aktif ibu bapa untuk menghasilkan strategi pendidikan terkini," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung tahunan PIBG SK Kulambai dan penyampaian hadiah Pelajar cemerlang 5A UPSR 2010 sumbangan DUN Usukan di Sekolah tersebut baru-baru ini.

Hadir sama wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, Laugan Iman; Yang Dipertua PIBG SK Kulambai Ustaz Meleh Bidin; Guru Besar SK Suang Punggur Patong Santis serta lebih dari 200 orang ibubapa pelajar.

TAHNIAH…Japlin ketika menyampaikan hadiah pelajar cemerlang kepada salah seorang pelajar sempena majlis tersebut.

Menurut Japlin yang juga Wakil Rakyat Kawasan Usukan, pelajar di sekolah sudah pastinya bergantung sepenuhnya kepada guru untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan. Bagaimanapun bagi mempastikan tahap kecemerlangan dalam akademik dapat dicapai sepenuhnya mereka perlu memiliki nilai tambah sendiri dengan rajin mengulang kaji pelajar semasa berada di rumah.

“Di rumah pula ibubapa perlu mengambil peranan dengan memperuntukan masa bagi memantau serta memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka untuk terus belajar,” katanya.

Menurutnya sokongan moral ini selain dari bentuk nasihat keperluan pendidikan mereka seperti buku-buku rujukan dan sebagainya juga perlu disediakan dalam erti kata memberikan keutamaan kepada keperluan pendidikan anak daripada perkara- perkara lain yang kurang penting.

Selain itu, Japlin berharap melalui anugerah dengan pelbagai hadiah yang menarik ditawarkan oleh pihak sekolah dan PIBG untuk sasaran peperiksaan UPSR 2011 mampu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di sekolah tersebut; apatah lagi sekolah ini turut memiliki kemudahan pendidikan yang turut membantu memperkasakan tahap pencapaian akademik ke arah yang yang cemerlang

No comments:

Post a Comment