Sunday 3 April 2011

JAMAWI BERENTAP DI SARAWAK



Oleh: NASUTION NAEJEL

KEMPEN ONE MALAYSIA dokongan Pemuda BN yang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kebangsaan, Khairy Jamaluddin (KJ) yang kini berkampung di Sarawak bagi membantu negeri itu menghadapi pilihanraya umum negeri yang akan diadakan pada 16 April 2011.

Semua Pemuda BN Malaysia sekarang tertumpu di Bumi Kenyalang itu termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat, Jamawi Jaafar, tidak terkecuali untuk mengerah tenaga dan fikiran bagi memastikan BN Sarawak terus memerintah negeri itu selepas pilihanraya umum itu kelak.

Meskipun BN Sarawak menghadapi tentangan hebat daripada barisan pembangkang seperti PKR, DAP, PAS dan SNAP; namun moral pengundi negeri kenyalang itu, khususnya golongan pengundi muda tetap tidak berganjak untuk mempertahankan BN daripada jatuh ke tangan pembangkang.

Ketika dihubungi portal Sabahkini.net, Jamawi menjelaskan bahawa pemuda BN mempunyai tugas getir untuk mempastikan pengundi muda Sarawak tidak akan memihak kepada pembangkang, namun pelbagai aktiviti sedang dijalankan dalam usaha untuk membendung penghijrahan mereka (pengundi muda) kepada pihak lawan.

Jamawi ketika menilai sokongan rakyat Sarawak kepada BN secara rawak setakat ini bolehlah disifatkan sebagai melebihi peratusan sokongan kepada BN meskipun terdapat beberapa kawasan yang majoriti berpenduduk masyarakat Iban, Dayak dan Cina masih dikategorikan sebagai kawasan 50-50.

Apa yang diharapkan Jamawi ialah pengundi muda tidak akan terpengaruh atau terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang yang sekadar mampu menjanjikan ‘bulan dan bintang’, namun realitinya semuanya kosong tidak berisi.

Sebaliknya tegas Jamawi, BN telah teruji kemampuannya untuk mentadbir negara yang telah terbukti lebih 50 tahun lalu kerana hasil perjuangannya telah pun dinikmati rakyat sekarang ini seperti sumber ekonomi, pembangunan luar bandar, bekalan air bersih, elektrik, jalanraya dan bantuan warga emas melalui e-kasih.

Bagaimana pun ONE MALAYSIA akan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bagi menjelajah kesemua kawasan di Sarawak dalam usahanya untuk mendekati rakyat tanpa mengira ia kawasan hitam, ungu, merah dan sebagainya, namun ONE MALAYSIA pasti akan sampai ke tempat mereka.

No comments:

Post a Comment