Sunday 3 April 2011

JAMAWI DIBERI NOTIS 14 HARI UNTUK MINTA MAAF



Oleh: MEDIA PKR TENOM

RIBUT dalam cawan yang melanda PKR Tenom ekoran tindakan Timbalan Ketua Cabang PKR Tenom, Lampag Kurais bersama lapan AJK Cabang serta beberapa ahli pemuda dan wanita menyertai UMNO kini kembali teduh; gagal meruntuhkan tebing permuafakatan; malah memperkukuhkan benteng semangat mereka untuk memperjuangkan nasib dan masa hadapan mereka di persada politik tanah air.

Mesyuarat Jawatankuasa Cabang PKR Tenom yang telah diadakan kelmarin; antaranya agenda yang dibincangkan ialah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pembelot parti demi melestari keutuhan perjuangan yang dipimpin oleh veteran politik Sabah, Datuk Halik Zaman.

Resolusi mesyuarat telah sebulat suara melantik Naib Ketua Satu Cabang PKR Tenom, Sani Kuak, 41, sebagai Pemangku Timbalan Ketua Cabang PKR Tenom dan beberapa muka baru dilantik mengisi kekosongan jawatan akibat penghijrahan Lampag dan pengikutnya.

Dalam ucapan penghargaannya, Sani Kuak, merasa teramat kesal di atas taktik kotor, licik dan pembohongan Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan sekutunya Lampag yang membabitkan namanya menyertai kumpulan yang menerima habuan itu; meskipun beliau telah didatangi oleh dalang- dalang politik kotor UMNO di rumahnya.

“Saya berterus terang dengan mereka akan misi perjuangan saya dan telah menolak dengan baik hasrat mereka untuk menjadikan saya seorang pembelot kepada anak cucu saya. Tetapi saya amat kesal kerana tanpa usul periksa mereka menyiarkan nama saya di akhbar tempatan, kononnya turut menyertai UMNO,” ujar Sani yang memberi notis 14 hari kepada Jamawi untuk meminta maaf secara terbuka di akhbar tempatan dan media alternatif kerana mengaitkan nama beliau.

Menurut Sani, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Jamawi dan UMNO yang telah secara malafide memburukkan namanya, memfitnah beliau dan mereka cerita politik kotor dan jelik terhadapnya.

“Saya sudah berbincang dengan panel peguam PKR dan tindakan susulan akan diambil 14 hari selepas disiarkan di Sabahkini.net,” tegas Sani yang menggesa agar semua ahli PKR dan Pakatan Rakyat berwaspada dengan taktik kotor UMNO dan BN sekalipun pilihanraya masih jauh.

Dalam pada itu, Setiausaha PKR Cabang Tenom, Masery Raisimin memberi tahu mesyuarat bahawa pada 30 Mac dan 1 April lalu, mereka telah menerima keanggotaan yang ramai daripada Kampung Jawa (Kg. Jamawi Jaafar) dan Kampung Tontologong, Melalap.

"Sambutan yang begitu hebat daripada ahli-ahli UMNO untuk menyertai PKR adalah di luar jangkaan. Mungkin kerana Jamawi merasa tercabar dan secara gopoh bertindak balas membeli AJK murahan PKR yang tidak berprinsip itu, setelah kecewa dengan minat rakyat yang kini berpaling tadah daripada BN yang dianggap mereka sebagai boneka UMNO," kata Masery.

Menurut Masery lagi, sudah menjadi budaya UMNO, asal ada peluang atau menjelang pilihanraya, mesti berlaku 'pembelian' anggota PKR di mana-mana sahaja di Malaysia.

“Mungkin resam itulah yang diamalkan oleh Jamawi yang kini berkonfrantasi dengan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raimie Unggi dan Ketua Wanita UMNO Tenom yang masing-masing mahu melobi calon Parlimen Tenom daripada Datuk Shafie Apdal, yang dikatakan orang kuat Presiden UMNO," jelas Masery lagi.

No comments:

Post a Comment