Wednesday 13 April 2011

LANUN TANAH GUSARKAN 14 KC UMNO



Oleh: SURIATI MAHMUD

DEMI memperjuangkan Tanah Adat yang mereka warisi daripada nenek moyang, 14 Ketua Cawangan UMNO di Mukim Tanjung Labian, Tungku akan menemui Tuan Yang Terutama yang Di Pertua Negeri Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin bagi menghalang kegiatan ‘Lanun Tanah’ menceroboh dan merampas tanah mereka.

“Adalah tidak berperi kemanusiaan dan bersikap kurang ajar jika Adun Tungku mencadangkan Tanah Adat kami diberikan Geran Komunal sedangkan Kerajaan British mengiktiraf hak kami ke atas tanah adat sebelum diceroboh FELDA,” ujar Kunsul Nahul, jurucakap 13 lagi Ketua Cawangan UMNO di Mukim Tanjung Labian.

Kata Kunsul, pemberian Geran Komunal adalah penghinaan terhadap anak negeri yang mewarisi tanah adat mereka daripada nenek moyang sejak lebih 300 tahun lalu kerana majoriti mereka telah mengusahakan tanah tersebut dan diagehkan kepada generasi berikutnya.

Tetapi malang kata Kunsul, Kerajaan Berjaya telah merampas hak tanah adat kami dan memberikannya kepada FELDA yang bukan sahaja merampas padang ragut, malah menganggap penduduk Labian sebagai binatang buas dengan menggali parit di sekeliling tanah yang diberikan kepada FELDA secara percuma.

“Selepas kami mendesak melalui pelbagai cara, FELDA telah mengeksais keluar semua tanah yang telah mereka ceroboh pada 1996 tetapi Ketua Menteri berikutnya iaitu Tan Sri Chong Kah Kiat telah meluluskan 1,000 ekar tanah kepada kroninya atas jasa polis dan tentera membasmi PATI dalam Ops Nyah 2 Bersepadu yang turut memangsakan penduduk tempatan,” ujar Kunsul yang menyebut Mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Ramli Yusof dan Mantan Bragedier Jenderal Yassin Yahya mendapat 500 ekar seorang melalui Syarikat Kinsajaya Sdn.Bhd.

Menurut Kunsul walaupun mereka tahu bahawa TYT tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk membatalkan kelulusan yang telah diberikan kepada lanun tanah secara silap, rasuah dan mencabul hak asasi anak negeri Sabah, namun sekurang-kurangnya TYT dapat menasihati Ketua Menteri Sabah agar membatalkan permohonan tanah berkenaan atau memindahkan kelulusan ke tempat lain demi menjaga kepentingan anak negeri dan tanah adat yang semakin terhakis.

“Saya kesal kerana Mantan Wakil Rakyat, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee telah diluluskan 1,450 ekar tanah tetapi di atas tanah adat kami. Begitu juga dengan Skim Penempatan seluas 1,500 ekar yang dirizab oleh Kerajaan USNO telah dilupuskan oleh UMNO dan diberikan kepada Tauke daripada Semenanjung Malaysia,” ujar Kunsul yang kecewa dengan sikap talam dua muka Adun Tungku berhubung isu ini.

Tegas Kunsul, selepas menemui TYT, mereka akan melantik peguam untuk memproses dan menuntut hak mereka di mahkamah jika gagal menemui sebarang penyelesaian di pihak kerajaan termasuk Jabatan Tanah, Hasil Bumi dan FELDA.

No comments:

Post a Comment