Friday 1 April 2011

MASALAH TAPAK BANTUTKAN SMK ARSHAD II



CENDERA …..Pauze (kiri sekali) menyampaikan cendera kenangan kepada Abdul Rahman (tiga dari kiri) sebagai tanda penghargaan sambil diperhatikan oleh Abdul Gari (dua dari kiri), Bahkrin (kanan sekali) dan Abdullah Nawawi (dua dari kanan) pada majlis itu.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

CADANGAN pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad II di Kota Belud hanya akan dapat dilaksanakan sebaik sahaja masalah tapak tanah yang menjadi dilema rancangan pembangunan untuk sekolah itu dapat diatasi dengan segera.

Ahli Parlimen Malaysia (Kota Belud), Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan, berkata tapak tanah untuk cadangan pembinaan SMK Arshad II telahpun pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud kenal pasti.

Katanya, rundingan terhadap harga tanah yang dituntut oleh pemilik tanah tidak dapat diputuskan lagi sehingga ke hari ini, maka atas sebab itu rancangan untuk membina sekolah itu tergendala buat sementara waktu.

“Dalam masa pihak kerajaan mahu dan mempunyai kemampuan kewangan untuk membina sekolah tersebut, kita berhadapan dengan satu lagi iaitu masalah tanah.

“Kita berharap tuan punya tanah itu akan dapat mampu mencari kata putus supaya pihak kerajaan dapat membeli tanah itu dengan harga yang lebih sesuai dengan kemampuan kerajaan bagi pihak guru-guru, anak-anak murid untuk SMK Arshad ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru SMK Arshad (PIBG SMARD) kali ke 13 yang telah diadakan di dewan sekolah tersebut, baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut bersetuju dengan cadangan pihak sekolah itu, jika perundingan harga tanah dengan pemilik tanah menemui jalan buntu adalah lebih baik pihak PPD memohon kepada pihak kerajaan untuk membina bangunan tambahan di sekolah tersebut.

Menurut Abdul Rahman lagi, cadangan pembinaan bangunan tambahan merupakan alternatif terbaik dan satu keperluan mendesak.

Katanya, pelaksanaan projek itu perlu dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan para pelajar di sekolah itu dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa.

“Saya faham komitmen dan keperluan pendidikan ini tidak akan habis sebab itu saya setuju kalau kita tidak boleh mampu untuk menwujudkan SMK Arshad II dalam masa yang terdekat, maka kita perlu meminta kerajaan untuk membina bangunan tambahan di sekolah ini seperti mana yang dicadangankan oleh pihak sekolah ini.”

“Saya minta Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Belud menyediakan satu kertas kerja yang mantap, mempunyai hujah yang kuat untuk saya serahkan memorandum ataupun permohonan itu kepada Menteri Pelajaran Malaysia sendiri di Parlimen nanti.” tambahnya lagi.

Abdul Rahman juga menjelaskan, pembangunan di daerah Kota Belud sedang pesat membangun, baik dari sektor pendidikan, sektor perladangan, sektor pertanian dan sebagainya.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional yang menjadi pemerintah di negara ini pada ketika ini sedang berusaha untuk membawa pelbagai pembangunan di daerah ini.

MESRA…..Abdul Rahman mengambil kesempatan beramah mesra dengan kaum ibu yang hadir pada majlis itu.

Katanya, selain daripada projek jalanraya yang telah dibuat dan dinaiktaraf, pembinaan jambatan baru, pembinaan sekolah-sekolah rendah dan menengah yang baru turut telah dilaksanakan antara menjadi keutamaan kerajaan.

“Beberapa tahun kebelakangan ini kita mempunyai tujuh buah Sekolah Rendah yang baru yang bernilai 9 hingga 13 juta ringgit setiap sebuah sekolah, di daerah Kota Belud juga kita telah mempunyai Sekolah Menengah baru antaranya SMK Taun Gusi II, projek penambahan bilik-bilik darjah di SMK Pekan Kota Belud dan SMK Usukan.”

“Inilah komitmen kerajaan yang ada sekarang sentiasa dari masa ke semasa berusaha menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi ini bagi memastikan anak-anak di daerah ini tidak tercicir dalam agenda pendidikan negara.” katanya lagi.

Hadir sama antaranya ialah Pegawai daerah Kinabatangan, Abdul Gari Itam, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, Abdul Bahkrin Mohd Yusof, Penolong Kanan I SMK Arshad Kota Belud, Pauze Abdul Majid, Yang Dipertua PIBG SMK Arshad Kota Belud, Abdullah Nawawi Ahmad serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment