Friday 8 April 2011

NCR KOMPONEN UTAMA FMU



Oleh: JAPIRIL SUHAIMIN

PERTIKAIAN parti-parti politik dan orang tertentu menyatakan bahawa kawasan FMU telah mengambil hak orang kampung/Anak Negeri di bawah NCR (Hak Tanah Adat) telah terjawab oleh Pengarah Jabatan Hutan Sabah, Datuk Sam Mannan dalam suatu pertemuan dengan Pesuruhjaya Suhakam, Jannie Lasimbang dan beberapa NGO beberapa hari yang lalu.

Sam Mannan telah menjelaskan bahawa dalam kawasan Hutan Simpan yang dikendalikan di bawah FMU dalam perjanjian lesennya, ‘Sustainable Forest Management Licence Agreement’ telah memperuntukkan khas untuk melindungi keperluan masyarakat setempat/orang kampung dalam kawasan hutan simpan (FMU) berkenaan.

Kawasan FMU adalah kawasan Hutan simpan yang dilesenkan kepada syarikat-syarikat yang layak di bawah perjanjian Sustainable Forest Management (SFM) Licence Agreement untuk mengurus dan mengawal hutan simpan secara mampan dan berdaya tahan seleras dengan prinsip dan peraturan ITTO untuk mengawal dan mengurus hutan tropika.

Seperti saya pernah jelaskan sebelum ini bahawa di antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah bahawa syarikat-syarikat FMU terikat dengan perjanjian Sustainable Forest Management Licence Agreement; hak NCR yang terkandung dalam kawasan FMU perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut Enakmen Hutan 1968.

Selain daripada itu program perhutanan masyarakat, kemudahan asas, bekalan air, bekalan letrik dan jalan raya termasuk sekolah dan klinik juga menjadi tanggungjawab syarikat FMU untuk membantu pihak kerajaan untuk melaksanakannya.

Termasuklah juga memberi pekerjaan dan latihan kemahiran kepada penduduk setempat dan sekitarnya dalam kawasan FMU. Ini bermakna bahawa kerajaan telah mengambil kira kedudukan Hak Orang Asal/Anak Negeri semasa mewujudkan program FMU di kawasan Hutan Simpan pada ketika itu.

Saya mengulangi bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa semua pengusaha FMU mematuhi syarat-syarat perjanjian dan pada masa yang sama Jabatan Hutan harus memantau dan memeriksa pelaksanaannya. Kerajaan harus mempertahankan hak orang Asal/Anak Negeri mengikut perjanjian tersebut dan bukan sebaliknya.

Kepada pihak tertentu yang memutar belitkan isu FMU menyatakan hak orang kampung/NCR terancam disebabkan wujudnya FMU adalah tidak berasas sekali dan sebarang kegagalan mempertahankan hak orang kampung dalam kawasan FMU adalah tanggungjawab pihak berkuasa dan kerajaan untuk memperbetulkannya mengikut lunas-lunas perjanjian lesen FMU berkeanaan.

(Japiril Suhaimin adalah Ahli Majlis Tertinggi SAPP dan Mantan Setiausaha Suhakam Sabah)

No comments:

Post a Comment