Thursday 14 April 2011

PAIRIN SUKA GELAR SETERU ‘ANJING KL’?



Oleh : MARIA GUNSIKAN

SETELAH mendiamkan diri selama 21 tahun, akhirnya Parti Bersatu Sabah (PBS) mengakui menyesal kerana bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990.

Tindakan ini dilakukan sehari sebelum hari pembuangan undi Pilihanraya Negeri Sabah dan diistilahkan sebagai tindakan ‘menikam dari belakang’.

Peristiwa inilah yang telah mengubah lanskap politik Sabah sehingga kini, sehingga parti-parti politik tempatan tidak akan berupaya lagi untuk memerintah negeri sendiri, atas faktor Umno, sebuah parti terbesar di Semenanjung yang kini memperkukuhkan akar tunjangnya di atas tindakan ‘bodoh’ PBS pada tahun 1990.

Tindakan tidak ‘bijak’ PBS ini telah menyebabkan perpecahan kerana terdapat di kalangan pemimpinnya yang tidak bersetuju dengan tindakan (keluar dari BN). Sentimen ‘Anti-Federal’ pada masa itu sangat kuat hinggakan sesiapa sahaja yang berpendapat bahawa PBS sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam BN digelar sebagai ‘Anjing Kuala Lumpur’.

Dalam buku memoir Tun Mahathir Mohammad bertajuk ‘A Doctor in the House’, mantan Perdana Menteri itu berkata, kerana tindakan PBS menikam dari belakang itu, telah menyebabkan Umno masuk ke Sabah melalui Usno (sebuah parti komponen BN yang diasaskan oleh Tun Mustapha Datu Harun). Di sinilah bermulanya penguasaan Umno ke atas Sabah.

Senario ini telah memberi impak ketara kepada rakyat tempatan terutamanya masyarakat KDM. Dengan kedudukan mereka sebagai peneraju utama pemerintahan kerajaan negeri, peluang-peluang KDM dalam pelbagai bidang juga semakin terhakis. Siapakah punca kepada keadaan ini? Sudah tentu kita beri telunjuk kepada PBS atas tindakannya yang bodoh pada tahun 1990, yang telah memalapkan masa depan rakyat ini kerana kehadiran Umno di Sabah.

Hakikatnya hanya BN yang telah membuktikan kemampuan memaju dan membangunkan negeri ini dan BN di Sabah adalah terdiri dari parti-parti tempatan yang telah berjuang menjaga dan melindungi hak-hak rakyat negeri ini sehinggalah PBS diterima masuk semula pada tahun 2002.

Namun setelah diterima masuk sebagai anggota BN pada tahun 2002, PBS mula menunjukkan belang dan seringkali memperlekehkan parti-parti tempatan lain berasas KDM.

PBS menerima hakikat penyertaan semula parti itu ke BN bukanlah mudah. Tekanan dari rakyat yang dahagakan pembangunan kerana PBS adalah pembangkang di peringkat negeri. Maka dalam rundingannya untuk mendapat beberapa jawatan kabinet dan usahanya memingirkan parti tempatan yang lain, PBS dengan rela menjual hak jawatan Ketua Menteri kepada Umno, tanpa memikirkan kepentingan jawatan itu kepada kaum KDM dan parti-parti tempatan.

Namun apa yang kita lihat pada masa kini ialah sikap PBS yang sering menyerang parti-parti tempatan yang lain, tetapi tidak kepada Umno. Malahan terdapat kecenderungan PBS yang menuntut kawasan-kawasan parti tempatan yang lain, tetapi tidak kepada kawasan Umno.

Tidak dapat dinafikan hakikatnya bahawa sekiranya PBS tidak masuk ke dalam BN pada tahun 2002, PBS pasti akan kalah dalam pilihanraya disebabkan rakyat sedar hakikatnya bahawa BN adalah satu entiti yang sangat kuat untuk membawa kemajuan kepada rakyat.

Betapa pentingnya hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan rakyat yang telah ketinggalan jauh, semata-mata disebabkan PBS memilih kemudi yang salah.

Lagipun, pada Pilihanraya Umum tahun 1999, Presiden PBS Datuk Pairin hampir kalah kerusi parlimen sendiri apabila dia hanya menang dengan majority 200 undi kepada Datuk Joseph Kurup dari PBRS. Ini juga satu pengalaman yang menakutkan PBS dan mengalakkannya kembali kepada BN untuk menyelamatkan karier politik mereka.

Namun pada tahun 2002, pemimpin atasan BN melupakan persengketaan lama dan menerima PBS ke pangkuan BN supaya seluruh kaum KDM tidak dipinggirkan dari arus pembangunan.

Rakyat Sabah masih ingat gambar dalam ‘headline’ pada masa itu apabila Datuk Pairin dan beberapa pemimpin PBS berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir untuk meminta maaf atas kelakuan mereka pada tahun 1990 dan merayu untuk diterima semula dalam BN.

Tetapi malangnya, PBS kini lagi memburuk-burukkan nama Tun Dr. Mahathir dan menunjukkan lagi perangai mereka yang sering menikam orang lain dari belakang dan tidak berterima kasih.

Malah, Tun Dr. Mahathir hanya menyatakan pendapatnya sendiri yang juga merupakan fakta sejarah apabila beliau menulis tentang tindakan PBS keluar dari BN pada tahun 1990.

Melihat kepada perkembangan semasa PBS kini berusaha memonopoli kawasan-kawasan yang diwakili oleh parti-parti komponen asal dalam BN. PBS dilihat cuba meminggirkan kesetiaan, peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh parti-parti komponen BN yang setia kepada BN. Parti Upko, LDP, PBRS yang mempertahankan rakyat dan melindungi rakyat kerana tindakan PBS keluar dari BN, kini diserang oleh gurkha-gurkha PBS.

PBS lantang mengkritik dan memperkecilkan peranan parti-parti ini. PBS sepatutnya berterima kasih kepada parti-parti ini yang tidak membantah kemasukan semula PBS ke dalam BN.

Perbalahan dan polemik di suratkhabar juga telah membuktikan perhitungan PBS terhadap masa depan rakyat Sabah adalah langkah yang silap. PBS juga menyedari bahawa tidak ada gunanya untuk bermusuhan dengan Kerajaan Pusat. Namun isu anti federal serta rampas tanah yang dibawakan oleh PBS pada pilihanraya negeri dan Parlimen di masa-masa yang lalu adalah penyebab kepada kekalahan calon-calon BN di masa tersebut.

Ternyata apa yang pernah ditekankan oleh para pemimpin yang meninggalkan PBS kerana keluar dari BN pada masa itu adalah benar. Masih jelas dalam ingatan kita bahawa mantan Setiausaha Agung PBS ketika itu Datuk Joseph Kurup yang menentang hasrat PBS keluar dari BN, menyatakan bahawa jika PBS keluar dari BN, kesusahan bakal menimpa kepada rakyat apabila ‘bulldozer’ datang ke negeri itu.

Ini terbukti bahawa pendirian Kurup adalah benar dan beliau kemudiannya mengemudi parti PBRS. Setelah beliau sendiri (masih PBS) tidak lagi dipandang setelah memberikan pendirian menentang PBS keluar dari BN. Bahkan beliau juga menerima layanan buruk dari pucuk pimpinan PBS dan penyokong disebabkan pendiriannya, hingga di gelar ‘Anjing KL’.

Sikap berdiam diri Pairin 21 tahun yang lalu kini terjawab. Sebagai anggota baru dalam BN, PBS haruslah menerima hakikat bahawa tindakannya pada tahun 1990 telah menyebabkan Sabah dipinggir dari arus pembangunan untuk beberapa tahun dan telah mengubah lanskap politik Sabah yang tidak memihak kepada kaum KDM!

Pengakuan kekesalan PBS telah membuktikan tindakan pemimpin PBS meninggalkan perjuangan parti itu dan menubuhkan parti lain untuk kekal bersama BN adalah satu tindakan yang betul.

Namun seperti yang kita lihat, PBS yang berusia 9 tahun bersama BN sudah menunjukkan belang dan lagak untuk memperkecilkan hero-hero ini. Hormatilah parti-parti komponen KDM dalam BN! Kalau PBS ingin bermusuh atau memperjuangkan rakyat Sabah, tumpukanlah usaha kepada parti pembangkang, atau kepada parti luar. Jangan menyerang parti komponen tempatan yang merupakan pejuang rakyat Sabah yang sebenar.

1 comment:

  1. KDM sebagai penduduk terbesar di negeri ini seharusnya menjawat Ketua Menteri. Kita tidak mahu diperintah oleh parti dari luar di peringkat negeri. kita merayu parti2 KDM bersatu demi masa depan rakyat negeri ini.

    ReplyDelete