Monday 18 April 2011

PBB JADI PUSAKA, UMNO JADI FD!



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

KEGAGALAN Pakatan Rakyat menguburkan karier politik Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada pilihanraya umum ke 10 Sarawak, 16 April lalu membuktikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mampu menjadi benteng penampan paling ampuh Tsunami yang diwar-warkan Pakatan Rakyat; sebaliknya gegaran melantun semula dan memuncak di kalangan Pakatan Rakyat.

Dengan hanya memenangi 3 kerusi daripada 49 yang ditandingi, menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi ‘Keldai’ yang membawa barang dan senjata ‘DAP’ untuk menambah penaklukan wilayah baru atas nama ‘Pakatan Rakyat’ telah difaraidkan kepada DAP yang semakin berjaya melebarkan pengaruh mereka setelah menyeberangi Laut Cina Selatan.

Kemenangan 12 Kerusi DAP dan kekalahan semua 5 kerusi yang ditandingi PAS membuktikan ‘Slogan 1Malaysia’ bergema dan berjaya; terutama berjaya menyingkirkan pemimpin yang bongkak dan tamak yang didominasi kaum Cina terutama SUPP, apabila ketuanya, Tan Sri George Chan yang tidak bersemangat 1Malaysia turut kecundang.

Kejayaan PBB mempertahankan kesemua 35 kerusi yang ditandinginya mengubur terus hasrat pihak tertentu untuk menubuhkan UMNO di Sarawak kerana tidak ada keperluan atau sebab ‘munasabah’ ketika ‘Monasarawak’ menang bergaya sekalipun terpaksa mengorbankan 16 kerusi yang sepatutnya di dalam genggaman BN.

Terbukti rakyat Sarawak sudah matang dalam politik, terutama masyarakat Cina yang begitu yakin BN tetap akan membangunkan Sarawak sekalipun mereka memberikan banyak kerusi urbanisasi kepada ADUN Cina namun tidak sampai menghilangkan majoriti dua pertiga; begitu juga dengan bumiputera yang begitu percaya BN sehingga membantu PBB menyapu bersih semua kerusi yang diperuntukkan kepada parti yang menjadi pesaka (pusaka) mereka sejak tiga dekad lalu.

Bagaikan gegak gempita, baik di kem pembangkang atau BN, berita buruk Taib dicanang begitu hebat; termasuk juru kempen BN tidak yakin Taib menang di kerusi Balingian, malah ada ‘SB Pro Pembangkang’ turut menyebarkan fitnah dan khabar angin mengenai peribadi dan harta kekayaan Ketua Menteri paling lama memerintah Sarawak itu dan menggelarnya sebagai ‘Firaun’ atau ‘Karun’ dengan bantuan musuh ketat Taib, Yayasan Bruno Manser.

Tetapi persoalannya, kenapa Taib dan partinya mampu menyapu bersih kesemua kerusi yang mereka tandingi? Kenapa hasutan pembangkang tidak melekat di hati bumiputera Sarawak sehingga menganggap Taib bukanlah dominan, tetapi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah parti keramat yang akan diwariskan kepada anak cucu mereka kelak; lebih hebat daripada Melayu Semenanjung yang sudah berani menderhaka kepada UMNO.

Sekalipun kehilangan 16 kerusi kepada pembangkang adalah satu senario yang memalukan dan ramai pihak mendesak Taib berundur segera daripada kerusi Ketua Menteri Sarawak; namun persoalannya kenapa Taib harus berundur kerana senarai calon diputuskan melalui mesyuarat BN dan diluluskan Perdana Menteri?

Jika Taib dipersalahkan kerana BN tewas di 16 kerusi termasuk kepada calon bebas di Pelagus, namun kekalahan tersebut ibarat memotong kaki luka yang tidak mungkin sembuh akibat kencing manis; sekadar untuk menghalang daripada melarat, bukannya membunuh.

Bukankah Presiden SUPP, tan Sri George Chan Hong Nam sudah menerima ‘hadiah’ dan hukuman daripada masyarakat Cina di bandar, bukan kerana tiada pembangunan, tetapi mereka yakin kerana DAP akan bersuara lebih garang membawa tuntutan mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak, berbanding SUPP yang hanya menjadi ‘burung kakak tua’ dan gagal membela kepentingan perniagaan mereka selama ini.

Keyakinan 100 peratus terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyebabkan mereka membuat keputusan muktamad memberi undi kepada DAP kerana keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional begitu menyerlah di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sekalipun diperintah Pakatan Rakyat.

Nadi ekonomi masyarakat Cina yang sentiasa diperjuangkan Kerajaan Barisan Nasional dengan menumpukan pembangunan di bandar besar menyebabkan masyarakat Cina memerlukan lebih suara, terutama hak ekonomi yang lebih terjamin kerana mereka mempunyai ‘nilai tambah’ kepada undi mereka yang telah diberikan sebagai ‘Fixed Deposit’ kepada DAP bagi mengimbangi ‘Fixed Deposit’ BN dalam UMNO.

Ketidak pekaan Jurukempen PKR, terutama yang menjual agama dan mengutuk adat resam dan budaya masyarakat Sarawak menyebabkan bumiputera yang memberi sokongan moral kepada Anwar dan PKR akhirnya mengalihkan sokongan kepada PBB dan sekutunya; tanpa sedikitpun terkesan oleh Skandal Video Seks dan Pendedahan Raja Petra Kamaruddin.

Sekalipun Anwar berjaya memperkuda IBC Solar, syarikat Jerman yang membekalkan elektrik solar ke rumah panjang di Sarawak untuk menarik balik bekalan berkenaan jika Kerajaan Negeri Sawarak terus berdiam diri terhadap projek berkenaan iaitu dua hari menjelang pilihanraya; namun senario ini menyebabkan kemarahan masyarakat Iban sehingga menolak bulat-bulat calon PKR di 46 daripada 49 kawasan yang ditandingi PKR.

Keputusan pilihanraya Sarawak kelihatannya menggembirakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang mengulas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak membuktikan majoriti rakyat tetap percayakan BN untuk membela nasib mereka dan meneruskan kesinambungan pembangunan negeri.

Walaupun Sabah hanya mempunyai 1 kerusi pembangkang di DUN dan 1 kerusi di Parlimen; tidak termasuk 2 Ahli Parlimen Bebas (SAPP), namun pembangkang di Sabah lebih kelihatan sebagai ‘pengemis politik’; yang tidak mempunyai sebarang ‘suara atau aura’ untuk menggoncang akar politik BN Sabah.

Dengan keputusan lebih dua pertiga berkenaan, ramai pemerhati politik meramalkan Perdana Menteri akan membubarkan parlimen menjelang November 2011 bagi mendapat madat baru kerana yakin Tsunami 2008 tidak lagi berulang atau menggerunkan.

Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak masih ‘kehilangan’ suara untuk mendapat lebih kuasa di Parlimen terutama agehan jawatan yang berdasarkan ‘simpati’ dan ‘subsidi’ Perdana Menteri kerana majoritinya telah dibolot oleh Ahli Parlimen dari Malaya; sehingga berjaya mengidupkan semangat rakyat Sabah untuk berjuang semula melalui ‘Kapal Persiaran’ SAPP. Bon Voyage!

No comments:

Post a Comment