Sunday 10 April 2011

PBRS TERUS DEKAT DI HATI RAKYAT



SERAH… Kahirin menyerahkan borang keahlian seramai 251 orang kepada Presiden PBRS.

Oleh: ROZIE JUMAT

PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) semakin dekat di hati rakyat sekaligus menambahkan lagi kekuatan parti komponen Barisan Nasional (BN) di pedalaman. Terbaru parti itu menerima penambahan keahlian baru yang terdiri dari golongan belia melibatkan Cawangan Kampung Penagatan Ulu, Penagatan Laut dan Kg.Kesugui, Keningau seramai 251 orang.

“Perjuangan PBRS bukan main-main. PBRS ikhlas dan komited kepada rakyat antaranya ialah perjuangan PBRS terhadap isu tanah hutan simpan yang kami usahakan sejak tahun 1985. Yang kini berjaya dibubarkan kerajaan kerana kami tidak pernah putus asa sama sekali untuk memperjuangkannya,” kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Borang Keahlian PBRS anjuran Pergerakan Pemuda PBRS N.37 Sook di Dewan Haji Gusman, Penagatan Ulu, Keningau.

Turut hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Ellron Angin yang juga Adun Sook, serta ahli-ahli majlis tertinggi PBRS, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda.

“PBRS berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Negeri yang membubarkan Hutan Simpan Mandalom dan Sook Plain Reserve yang telah didiami sejak bertahun-tahun lamanya,” kata Kurup.

Namun kata Kurup masih banyak masalah berkenaan dengan tanah di hadapan mereka yang perlu diselesaikan. Apa yang paling penting katanya ialah rakyat dan penduduk terbabit mematuhi peraturan yang digariskan oleh kerajaan.

“Kita berjaya menyelesaikan masalah tetapi kita tidak nafikan masih ada masalah lain yang perlu diselesaikan,” kata Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Dalam pada itu Kurup berkata, meskipun PBRS kalah dalam pilihanraya 1999 disebabkan sentimen rakyat yang dipengaruhi anti federal. PBRS tetap berjuang dan tidak pernah berputus asa.

“Sangat sukar sekali menjelaskan pada waktu itu .Kami (PBRS) kalah tapi kami tidak biarkan rakyat. Kami terus berjuang dan hasilnya kita lihat sekarang,”ujar Kurup.

Objektif PBRS dari dulu dan sekarang ialah membela hak dan nasib rakyat katanya.

“Apabila kita sertai PBRS, kita mesti bersikap jujur dan menyokong,” kata Kurup.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda PBRS N.37 Sook, Kahirin Bador berkata, penyertaan 251 ahli ke PBRS adalah terdiri dari golongan belia dari tiga buah kampung tersebut.

“PBRS sangat mengalu-alukan penyertaan mereka dan kami (PBRS) sedia menjadi saluran dan ini menambahkan lagi kekuatan parti ini di kawasan ini sekaligus menambahkan semangat wakil-wakil rakyat kita dari PBRS untuk komited terus kepada rakyat,” kata Kahirin.

No comments:

Post a Comment