Tuesday 5 April 2011

PENGUNDI MUDA SARAWAK BERSAMA BN



BANTU….Khairy bersama jentera pemuda BN semasa meninjau pembaikan rumah yang dilakukan oleh pemuda bagi mendekati pengundi di peringkat akar umbi.

Oleh: JAAFAR ABD WAHID

PEMUDA Barisan Nasional (BN) yakin kira-kira 300,000 pengundi muda yang berdaftar di Sarawak memahami perjuangan BN dan akan bersama-sama parti itu untuk membangun masa depan mereka.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, keyakinan itu wujud ekoran kerajaan BN banyak melaksanakan program pembelaan kepada warga muda seperti Skim Rumah Pertamaku, Karnival Kerjaya Pemuda, Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (YES) dan pelbagai lagi.

Menurutnya, program seumpama itu mengembalikan semula keyakinan pengundi muda terhadap BN bahkan turut membuktikan pergerakan itu bukan hanya tahu berpolitik, tetapi benar-benar menjalankan kerja untuk menaik taraf golongan muda.

"Alhamdulillah, pengundi muda tidak kira kalangan bumiputera atau bukan bumiputera sudah dekat dengan BN dan sumbangan mereka juga turut diiktiraf oleh kepimpinan tertinggi BN Sarawak apabila dalam pilihanraya kali ini ramai muka baru mewakili golongan muda diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon BN,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Jentera Pemuda BN Sarawak, di Kuching, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dan turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda BN Pusat, Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda Umno, Dato Razali Ibrahim; Ketua Pemuda PBB yang juga Ketua Pemuda BN Sarawak, Datuk Fadillah Yusof serta Ketua-Ketua Pemuda komponen BN negeri Sarawak.

Sehubungan itu, Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Tenom menaruh keyakinan golongan pengundi muda di negeri Bumi Kenyelang itu akan mempertaruhkan masa depan mereka melalui perjuangan bersama BN pada pilihanraya kali ini berdasarkan kepada pencapaian dan kemajuan yang telah di bawah oleh BN selama ini untuk memajukan dan membangunkan Sarawak.

"Setelah kita mengadakan perjumpaan dan memberikan penjelasan mereka memahami segala perancangan kerajaan BN termasuk tranformasi kerajaan, pelaksanaan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), mereka lebih memahami isu itu berbanding apa yang didengar atau dibaca dalam blog pembangkang sebelum ini," katanya.

“Kita yakin mereka (pemuda) lebih bijak dan arif dengan hala tuju perjuangan parti BN selama ini, yang boleh mengenapikan beberapa isu atau provakasi yang dimainkan oleh parti pembangkang terutamanya yang dibawa dari luar yang hanya datang secara bermusim” tambah Jamawi.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, Pemuda BN Pusat akan membantu Pemuda BN negeri terutamanya dari segi persiapan dan penyelarasan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10.

Katanya, pergerakan itu juga akan memberi tumpuan di kawasan yang akan ditandingi oleh calon muda memandangkan kira-kira 25 peratus golongan itu akan diketengahkan pada pilihan raya kali ini.

No comments:

Post a Comment