Friday 8 April 2011

RAKYAT SABAH TIDAK LAYAK JADI GURU TADIKA?



AHLI Parlimen Malaysia (Tuaran) bengang dengan ketidak seimbangan pengisian jawatan di Jabatan Persekutuan di Sabah sehinggakan Kerajaan Persekutuan terpaksa mengimport guru-guru Tadika daripada Semenanjung Malaysia.

“Saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua, guru-guru tadika pun didatangkan dari luar Sabah. Saya tidak percaya tidak ada orang Sabah yang berkelayakan untuk mengisikan guru tadika. Jadi saya ingin bertanya di sini kepada Timbalan Menteri, saya percaya bahawa semua ini berasal daripada tindakan dalam jabatan. Saya rasa ini bukan hasrat pimpinan negara tetapi ini adalah tindakan oleh pimpinan di jabatan-jabatan dan sebagainya,” tanya Bumburing kepada Perdana Menteri.

Berikut adalah petikan Hansard Parlimen untuk renungan pembaca Sabahkini.net;

Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran] minta Perdana Menteri menyatakan kenapakah masih banyak jabatan dan agensi persekutuan di Sabah yang mengambil pekerja yang berjawatan rendah dan pegawai rendah dari Semenanjung Malaysia sedangkan ramai orang di Sabah yang layak menyandang jawatan-jawatan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Liew Vui Keong]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Tuaran atas soalan ini. Kerajaan Persekutuan sentiasa menimbang pengisian daripada kalangan anak negeri Sabah bagi jawatan-jawatan rendah di jabatan-jabatan persekutuan di negeri Sabah.

Pengisian ini akan dapat memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam memandangkan pegawai boleh lebih memahami keperluan setempat selain dapat meringankan kos sara hidup bagi pegawai yang berkenaan. Berdasarkan maklumat terkini, seramai 40,676 ataupun 89.77% daripada 45,309 pegawai dalam kumpulan pelaksana yang berkhidmat di jabatan-jabatan persekutuan di negeri Sabah adalah merupakan pegawai yang lahir di negeri Sabah.

Daripada jumlah 40,676 orang ini, 50% adalah daripada para guru, 20% adalah kerani dan 20% adalah pekerja kesihatan manakala 10% adalah daripada pegawai pelbagai bidang contohnya bakat dan seni, kejuruteraan dan lain-lain. Sekian, terima kasih.

Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih kepada Timbalan Menteri atas jawapan. Daripada peratusan yang diberi ini nampaknya selain daripada guru 50%, yang lain itu masih lagi rendah.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyatakan di sini bahawa masih banyak jabatan persekutuan apabila mengambil kakitangan baru ataupun daripada segi kenaikan pangkat masih lagi tidak memberi keutamaan kepada negeri Sabah.

Saya ambil contoh Tuan Yang di-Pertua, dalam satu dua tahun yang lalu JPJ umpamanya apabila ada kekosongan kurang lebih 15 jawatan pegawai rendah, pihak JPJ Sabah telah mengeluarkan banyak bakal pegawai yang layak, mempunyai kelulusan tetapi daripada 15 orang itu hanya tiga orang sahaja orang Sabah, yang lain itu daripada Semenanjung.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin terangkan di sini saya tidak ada masalah rakan-rakan dari Semenanjung bekerja di Sabah, ini satu negara tetapi memandangkan jawatan-jawatan ini ada candidate, calon yang layak dalam jabatan itu sendiri.

Kenapa tidak dibagi peluang kepada orang Sabah. Saya dimaklumkan dalam satu dialog dengan pimpinan JPJ, Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Persatuan Pegawai-pegawai Sabah di Sabah bertanya kenapa ini berlaku, jawapannya ialah pertama, pegawai-pegawai yang memohon untuk naik pangkat itu tidak lengkap mengisi borang. This is ridiculous, dengan izin.

Kedua, jawapan daripada Timbalan Pengarah mengatakan calon-calon yang dikemukakan itu tidak lulus tapisan SPRM. Saya bertanya, pegawai ini sudah melakukan sesuatu kesalahan yang terpaksa disiasat oleh SPRM atau tidak? Tidak ada siasatan.

Kenapa ini jawapan yang tidak masuk akal yang diberikan oleh pimpinan JPJ dan saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua, guru-guru tadika pun didatangkan dari luar Sabah. Saya tidak percaya tidak ada orang Sabah yang berkelayakan untuk mengisikan guru tadika. Jadi saya ingin bertanya di sini kepada Timbalan Menteri, saya percaya bahawa semua ini berasal daripada tindakan dalam jabatan. Saya rasa ini bukan hasrat pimpinan negara tetapi ini adalah tindakan oleh pimpinan di jabatan-jabatan dan sebagainya.

Jadi untuk memberi maklumat lengkap kepada pimpinan negara dalam semangat 1Malaysia, bolehkah kerajaan mengadakan satu kajian mengenai dengan gerakan pengambilan kakitangan naik pangkat ini dikaji. Ambil maklumat sejak PRU12 pada 2004 sehingga hari ini untuk makluman kita. terima kasih.

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuaran atas soalan tambahan. Daripada jawapan yang saya telah pun berikan tadi, kita boleh lihat bahawa hanya kurang daripada 11% sahaja pegawai adalah pegawai yang merupakan pegawai yang luar dari negeri Sabah dan daripada 11% pegawai yang luar dari Sabah itu kebanyakannya mereka mengikut suami dan juga isteri ataupun isteri yang ditugaskan di Sabah dan kadangkala suami isteri tersebut ditukarkan maka mereka juga telah pun mohon untuk ditugaskan di Sabah.

Mengenai isu yang dibangkitkan di agensi seperti JPJ di mana Yang Berhormat Tuaran telah pun mengatakan bahawa ada pemohon yang telah pun ditolak oleh kerana tidak lengkap ataupun ada siasatan SPRM, jadi sekiranya wujud perkara begitu, ini adalah dalam bidang kuasa JPJ untuk menolak permohonan sekiranya tidak lengkap ataupun pemohon itu disiasat oleh pihak SPRM.

Walaupun tindakan atas kesalahan belum lagi dijatuhkan tetapi saya rasa isu itu adalah dalam bidang kuasa pihak JPJ tetapi walau bagaimanapun, pihak kerajaan memang akan membuat kajian mengenai isu-isu yang telah pun dibangkit oleh Yang Berhormat Tuaran tadi memandangkan ini amatlah tidak selesa bagi pihak orang-orang di Sabah.

Bagaimanapun bagi saya, mungkin isu yang dibangkitkan itu juga satu kes yang isolated case dan sekiranya Yang Berhormat Tuaran ada lebih information mengenai perkara ini, boleh maklumkan kepada pihak saya.

Akan tetapi yang penting sekali memanglah menjadi hasrat kerajaan untuk mengambil anak tempatan untuk menjawat jawatan-jawatan di Sabah ini dan juga di Sarawak kerana ini dapat memudahkan pihak kerajaan seperti yang saya kata tadi daripada kos dan mereka boleh memahami isu tempatan dan juga keadaan situasi setempat. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment