Thursday 14 April 2011

SAPP TENOM BAKAL MELEDAK?



Oleh: NASUTION NAEJEL

MESKIPUN Tsunami cabang PKR Tenom sudah berlalu, namun bencana seterusnya mungkin akan melanda SAPP Tenom selepas Pegawai Penerangan parti itu di CLC Melalap mengumumkan perletakkan jawatan dan sekaligus keahliannya dalam parti menerusi blognya www.ambromail.blogspot.com pada rabu.

Difahamkan Pegawai Penerangan terbabit tidak sehaluan dengan kepimpinan CLC Melalap dan juga salah seorang Naib Presiden SAPP berhubung dasar dan hala tuju parti itu di peringkat kawasan yang sentiasa membantah cadangan dan strategi Pegawai Penerangan itu; meskipun cadangan itu memberi impak yang baik kepada perjuangan SAPP di peringkat kawasan, khususnya Melalap dan Kemabong.

Ekoran keputusan Pegawai Penerangan SAPP CLC Melalap, seperti yang ditulis dalam blognya, seorang Naib Presiden SAPP pusat yang juga bertanggung jawab di kawasan Pedalaman akan memanggil Pegawai itu untuk berbincang menyelesaikan kekalutan isu tersebut pada Jumaat ini (15 April 2011) di Pejabat perhubungan SAPP Keningau.

Setakat ini tidak dapat dipastikan pendirian Pegawai Penerangan (masih dirahsiakan namanya) terbabit sama ada berminat menyahut pelawaan itu atau apakah Pegawai itu akan berminat lagi untuk menarik balik perletakan jawatannya selepas perbincangan empat mata itu. Bagaiamana pun telefon bimbit Pegawai Penerangan SAPP itu ditutup sepanjang hari bermula rabu, menggagalkan wartawan untuk mengesahkan berita tersebut.

Dalam pada itu, seorang pengikut rapatnya, Majiadih O.T. Matalih, 50, memberitahu bahawa kemungkinan ramai ahli SAPP terdiri daripada ahli keluarga mereka akan mengikut jejak langkah Pegawai Penerangan itu menuju ke arah mana sahaja kiblat perjuangannya.

“Saya juga akan meletakkan jawatan bersama keluarga seramai 7 orang kerana tidak ada ertinya lagi perjuangan SAPP jikalau tiada perancangan yang baik; maksudnya menampilkan pemimpin muda yang berketrampilan untuk menjadi pemimpin di alaf baru ini bagi menggantikan pemimpin lama dalam SAPP,” jelas Majiadih yang menyifatkan SAPP seperti ‘Kereta Lembu’.

“Pegawai Penerangan itu seorang yang kuat kerja dan mempunyai pengalaman yang luas dari segi pendasaran strategik politik dan mampu melawan arus politik parti lawan. Kita hairan mengapa kepimpinan SAPP Melalap sentiasa meragui kewibawaan dan keikhlasannya. Perkara itulah yang membuatnya tidak selesa meneruskan perjuangannya dalam SAPP,” tambah Majidih lagi.

Menurut Majiadih, beliau (Pegawai Penerangan) mempunyai pengikut yang ramai selain daripada anggota keluarga yang meliputi kawasan Kemabong dan Nabawan; mungkin sedikit sebanyak akan menggugat imej SAPP di mata rakyat sekiranya Pegawai terbabit berminat untuk melakukan sesuatu keruntuhan pengaruh terhadap SAPP sebelum PRU13 kelak.

Mengikut sumber sumber yang boleh dipercayai, Pegawai terbabit yang berkawan rapat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom dan juga Ketua LDP Tenom kelihatan ada bersama-sama bersarapan di sebuah restoran di Tenom sehari sebelum beliau membuat keputusan itu.

Namun topik perbualan tidak dapat dipastikan tetapi ramai yang mengatakan bahawa Pegawai itu sering bersama-sama bersarapan pagi atau makan tengah hari siapa sahaja pemimpin politik sama ada di pihak BN mahu pun pembangkang.

Andaian demi andaian di kalangan tokoh politik meja bulat di kedai-kedai kopi yang sudah pun dapat menghidu maklumat pergolakan yang dianggap kecil; namun ia akan membesar menjadi ‘Tsunami SAPP Tenom’ jika Pegawai itu bertindak ‘melontar kembali telur busuk ke arah SAPP’ kerana sebelum ini Pegawai itu banyak membela SAPP untuk mempertahankan serangan-serangan politik dalam media oleh pihak lawan.

No comments:

Post a Comment