Friday 1 April 2011

SEKAT LINTAH DARAT HISAP DARAH PENIAGA



Oleh: FAIZAL OKADAU

SUDAH menjadi nasib peniaga kecil yang terpaksa menumpang dan mengharapkan belasan ehsan pemilik bangunan bagi mencari sesuap rezeki untuk meneruskan kehidupan. Persoalannya sampai bila mereka terpaksa menyuap ‘buaya buas’ di muara sungai?

Inilah keluhan dan rintihan para peniaga kecil Sabah yang rata-rata terpaksa menyewa premis perniagaan yang mahal. Malah ada peniaga terpaksa membayar sewa sehingga RM650 hingga RM1500 untuk menyewa bangunan dengan kadar keluasan 3 X 6 dan 8 X 6 kaki persegi.

Bukan sekadar itu, peniaga juga didesak untuk membayar tiga hingga lima bulan deposit untuk menyewa lot kedai tersebut; tidak termasuk kos pengubahsuaian kedai tersebut. Malah dalam masa pengubahsuaian itu juga, sewa bulanan kedai turut berjalan.

”Senario yang berlaku di bandar-bandar malah di pekan-pekan seluruh Sabah ini amat membebankan peniaga kecil yang mempunyai modal yang terhad. Kos ini belum lagi termasuk barangan yang hendak mereka niagakan,” terang Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisyamuddin Sulaiman.

Sehubungan itu, Hisyamuddin mendesak kementerian atau jabatan yang terbabit supaya menggubal satu peraturan boleh mengawal dan menghadkan kadar sewa supaya para peniaga kecil dapat keluar daripada kesusahan ‘lintah darat’ yang terus menyedut kudrat mereka.

“Sekiranya fonemena ini dibiarkan, saya bimbang nasib peniaga kecil yang majoritinya adalah bumiputera akan terbatas keupayaan niaga mereka sehingga terpaksa memilih untuk berniaga di kaki-kaki lima bangunan atau pasar-pasar tamu yang bersifat mingguan sahaja,” jelas Hisyamuddin lagi.

Jika begini keadaan mereka, tambah Hisyamuddin, peniaga kecil yang sebahagiannya meminjam modal daripada Amanah Ikthiar dan TEKUN akan terbeban dengan hutang dan sukar untuk mereka membayar balik pinjaman mereka. Jika ini terjadi, maka sia-sialah usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui program berkenaan.

Kadar sewa yang tinggi ini turut menambah jurang ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin. Inilah antara sebab kenapa gaji pekerja di Sabah terlalu murah jika dibandingkan dengan pendapatan yang diperolehi oleh majikan.

Selain itu, kadar sewa yang mahal juga turut menyebabkan barang jualan dinaikkan harga bagi menampung kos sewa bangunan. Pelangganlah yang selalu menjadi mangsa kepada kerakusan golongan ‘bangsatwan’.

“Tindakan tangkas ini perlu bagi membela golongan yang berpendapatan rendah. Malah, saya cukup optimis, sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara, perkara yang melibatkan golongan berpendapatan rendah akan diberi keutamaan oleh kita,” kata Hisyamuddin menutup bicaranya

1 comment:

  1. Baguslah kalau sudah ada undang2 menyekat buaya buas ni. rakyat tulen Sabahan terus tertekan dengan penguasaan ekonomi oleh imigran dengan izin dan tanpa izin ini. Jika kita lihat senario ini amat parah berlaku di kawasan bandar di mana sebahagian besar premis bangunan dan rumah sewa dikuasai Cina dan PTI Pilipin Indon Pakistan India..kerajaan mesti bertindak segera menetapkan kadar sewa rumah/kedai yang tidak membebankan rakyat bawahan.

    ReplyDelete