Tuesday 5 April 2011

SINDROM TAHI KAMBING MENGHANTUI SARAWAK



Oleh: KALAWON SAPP

KALAU hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih! Demikianlah pepatah yang relevan sekali dengan kelibat kepimpinan barisan pembangkang yang sentiasa keruh ketika timbul keinginan membentuk kesepakatan dalam perjuangan menentang UMNO-BN pada PRU13 akan datang ini.

Setelah sesat di belantara politik Sarawak, Pemuda Pakatan Rakyat kini bersatu mencari jalan pulang ke Sabah agar dapat mengumpulkan sisa-sisa semangat yang hilang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Kalau pemimpin ‘senior pembangkang’ tidak dapat membentuk kesepakatan kerana mahu menjadi jaguh, konon untuk mempertahankan idealogi parti masing-masing; satu perkara yang merugikan kepada Gagasan Pembangkang yang mungkin tidak mendapat sebarang kerusi selepas pilihanraya.

Lebih malang lagi selepas pertemuan yang tidak menjadi itu, diintikan pula dengan kenyataan akhbar yang menyakitkan rakan sebelah, sekaligus menghancurkan niat masing-masing untuk bekerjasama yang masih terpendam untuk dibawa ke meja rundingan.

Namun para pemimpin Pergerakan Pemuda Gagasan Pembangkang yang diketuai Edward Dagul dari SAPP, PKR. PAS dan DAP perlu dipuji kerana telah menyedari hakikatnya pergeseran sesama sendiri itu dan kini sudah memulakan riak-riak kesepakatan dan kemesraan itu di Gaya Street, Kota Kinabalu ketika kempen memungut tandatangan untuk mendesak penubuhan Susuhanjaya Siasatan Di Raja (SSD).

Edward Dagul dan rakan-rakan sejawatnya dari PKR, PAS dan DAP adalah dianggap sebagai wira dan perintis kerana membuka ruang kepada jalan penyelesaian untuk mencipta dimensi baru bagi mempertemukan pemimpin kanan masing-masing bagi merumus bentuk kerjasama yang dikehendaki dalam menumpaskan UMNO-BN pada PRU13.

Pembangkang Sabah yang terdiri daripada SAPP, PKR, PAS dan DAP perlu menjadikan PRU Sarawak sebagai ikhtibar kerana kegagalan kesepakatan Gagasan Pembangkang Sarawak tidak akan lari ke mana; tetapi akan gagal dan seterusnya gagasan itu jatuh ke lurah yang dalam untuk selama-lamanya selepas sahaja BN Sarawak dinobatkan rakyat mengungguli pilihanraya itu.

Titik tolak daripada senario yang berlaku kepada pembangkang di Sarawak, harus dijadikan formula di Sabah bagaimana mengatur langkah dan strategi yang berkesan dalam membentuk kesepakatan yang jitu di kalangan Gagasan Pembangkang yang sedikit sebanyak sudah dirintis dan dimulakan Dagul bersama PKR, PAS dan DAP di Gaya Street itu untuk mendepani UMNO-BN pada PRU13.

PERCAYA atau TIDAK! kelibat politik pembangkang di Sarawak sebenarnya sudah hancur lebih awal selepas sahaja kesepakatan Gagasan Pembangkang gagal mencapai permuafakatan yang dihajati; namun ketamakkan kuasa menguasai diri pemimpin; bertindak rakus dan membolot kerusi yang banyak tanpa mengira kesesuaian parti terbabit di sesuatu kawasan, menjadikan ia sebagai punca kehancuran pembangkang Sarawak.

Bagaimana pun pembangkang di Sabah masih belum terlambat lagi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik daripada Sarawak jika pembangkang Sabah ingin benar mahu UMNO-BN di Sabah tumpas pada PRU13 kelak.

Namun Dagul dan rakan rakan sejawatnya dalam pembangkang yang menjadi perintis kepada formula kesepakatan pembangkang Sabah perlu diteruskan dan perlu kekerapan pertemuan diadakan demu mengukuhkan lagi persefahaman itu.

Diharap kesedaran yang mula bercambah ini tidak menjadi seperti kata bidalan orang tua-tua, perpaduan tahi kambing; bersatu di dalam tetapi terburai dan bercerai di luar!

No comments:

Post a Comment