Friday 8 April 2011

SOALAN SEINCI DIJAWAB SEDEPA?


KUALITI jawapan kementerian di Dewan Rakyat semakin merosot kerana banyak Timbalan Menteri yang memberikan jawapan secara umum dan sambil lewa sehingga gagal memuaskan hati Ahli Parlimen yang mengemukakan soalan dan turut ditegur Speaker Dewan Rakyat.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen Malaysia (Kinabatangan) Datuk Bung Moktar bin Radin telah meminta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan:-

(a) cadangan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan yang rosak teruk serta sukar untuk dilalui oleh masyarakat setempat dan peruntukan khusus bagi menyediakan pemasangan wayar dalaman rumah (internal wiring) rumah-rumah penduduk miskin di daerah Kinabatangan; dan

(b) langkah kerajaan dalam mengeluarkan masyarakat luar Bandar daripada kepompong kemiskinan secara jangka panjang.

Namun Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) I [Dato’ Haji Hasan bin Malek] telah menjawab secara panjang lebar namun gagal memuaskan hati Bung yang bukan sahaja menyindir malah bingung dengan jawapan berkenaan melalui soalan tambahan.

Berikut sedutan Hansard Parlimen;

[Dato’ Haji Hasan bin Malek] Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan sahabat Yang Berhormat yang sepanjang masa begitu prihatin kepada hal-hal yang berhubung kait dengan masalah di kawasan.

Tahniah Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, kementerian telah menyenaraikan projek naik taraf Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan di bawah rolling plan kedua iaitu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) dan pelaksanaannya dijangka akan dimulakan pada tahun 2013.

Berhubung dengan peruntukan khusus bagi menyediakan pemasangan wayar dalaman rumah, untuk makluman Yang Berhormat, skop Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) kementerian melibatkan pembinaan talian penghantaran dan talian pengagihan sehingga ke had maksimum 33 kV termasuk talian perkhidmatan ke rumah pengguna. Pendawaian dalam rumah tidak termasuk dalam skop BELB yang dilaksanakan oleh kementerian.

Bagaimanapun, perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat NKRA Leadership Team (NLT) infrastruktur luar bandar pada 21 Februari 2011. Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta sebagai permulaan untuk membiayai kos pendawaian dalam rumah di negeri Sabah melalui program Assisted Rural Wiring Scheme (ARWS).

Melalui skim ARWS ini, pendawaian dalam rumah akan dilaksanakan oleh vendor yang dilantik oleh SESB dan had pembiayaan adalah terhad kepada RM510 setiap rumah. Pengguna bertanggungjawab untuk membayar semula kepada SESB selama 24 bulan secara ansuran.

Tuan Yang di-Pertua, soalan yang kedua kerajaan komited dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan negara dan telah menetapkan sasaran pengurangan kemiskinan kepada tahap 2.8% pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan.

Secara dasarnya, langkah-langkah utama dalam menangani isu kemiskinan adalah seperti berikut;

(i) memperkukuh dan memantapkan lagi pelaksanaan program-program sedia ada di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dengan memberi tumpuan yang lebih besar kepada projek-projek peningkatan pendapatan, Program Kursus Latihan Kemahiran dan penyediaan tempat kediaman yang lebih selesa dan selamat;

(ii) memperkukuh dan meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian program-program pembasmian kemiskinan melalui penubuhan fokus group, membasmi kemiskinan di peringkat nasional, negeri dan daerah yang akan berperanan dalam menyelia perancangan, pelaksanaan, dan pemantauan serta penyaluran peruntukan bagi program atau projek pembasmi kemiskinan;

(iii) kerajaan juga telah membangunkan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional yang dikenali sebagai e-Kasih dan akan menjadi pusat rujukan utama dalam menyediakan profil komprehensif golongan miskin dan golongan miskin tegar yang akan diberi bantuan;

(iv) kerajaan akan meneruskan strategi pembangunan tanah yang bersepadu bagi melonjakkan ekonomi di kawasan yang mempunyai insiden kemiskinan yang tinggi di luar bandar melalui program-program seperti projek lonjakan mega yang berkonsepkan kepada Agropolitan seperti contoh di Pulau Banggi, Sabah serta Projek Ladang Sejahtera di Semenanjung Bangkoka, juga di Sabah. Ini contoh. Kalau di Pahang pula di Gahai sebagai contoh dan lain-lain; dan

(v) meneruskan strategi dalam meningkatkan penyediaan akses pendidikan, kesihatan, dan kemudahan asas seperti pembinaan jalan luar bandar, bekalan air serta elektrik yang lebih baik akan diguna pakai bagi menangani masalah kemiskinan di kalangan kumpulan minoriti seperti masyarakat Rungus, Sulu, Orang Sungai dan Tidong di Sabah.

Tuan Yang di-Pertua, kerajaan senantiasa sedar bahawa cabaran menangani kemiskinan di Sabah secara relatifnya adalah lebih rumit berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia berdasarkan kepada ciri-ciri demografi dan sosio-ekonominya.

Oleh yang demikian, bagi mencapai hasrat bagi membasmi sepenuhnya kemiskinan di Sabah ianya memerlukan satu jangka masa yang relatif lebih panjang dan focus pembasmian kemiskinan akan ditumpukan kepada perkara-perkara seperti berikut.

Pertama...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat panjang lagi Yang Berhormat?

Dato’ Haji Hasan bin Malek: Tidak. Ini ikut soalan, jawapannya umum saya terpaksa juga buat dia punya–sedikit sahaja. Memperkemas supaya jelas perkara-perkara berikut;

(i) memperkemaskan pangkalan maklumat e-Kasih bagi membantu meningkatkan keberkesanan perancangan dan penyaluran program kepada kumpulan sasar;

(ii) meningkatkan keupayaan agensi pelaksana dalam aspek perancangan dan pemantauan projek bagi memastikan kesinambungan dan keboleh upayaan Projek (Sustainability Of Project);

(iii) memperkukuhkan peranan fokus group kemiskinan di peringkat negeri dan daerah;

(iv) menyelaras dan menggalakkan penglibatan lebih besar NGO, badan berkanun dan sektor korporat dalam Program Pembasmian Kemiskinan; dan

(v) menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah melalui Program Pembasmian Kemiskinan seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) sebagai contoh di Daerah Tongod di Kinabatangan.

Dengan langkah-langkah yang saya sebutkan tadi, kerajaan cukup yakin kemiskinan di Sabah akan dapat ditangani dengan sewajarnya, insya-Allah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Ya, Yang Berhormat Kinabatangan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan panjang lebar bunyi macam sedap didengar. Kalau bunyi itu diterjemahkan di bawah, saya rasa pilihan raya akan datang tidak boleh kalahlah kita.

Yang Berhormat Timbalan Menteri, kemusykilan yang saya hadapi. Saya telah mengemukakan beberapa permohonan peruntukan kecil untuk meningkatkan pendapatan rakyat, untuk mempertingkatkan kemahiran rakyat seperti menganjur kursus orang kampung yang kita kumpul, kita organize kursus memasak, membuat kuih, selepas itu kita bantu mereka.

Nampaknya satu pun tidak ada dapat kelulusan. Oleh sebab itu, persoalan ini saya kemukakan. Itu sebab bunyi jawapan tadi seolah-olah kita no problem. Jadi apa, apa sebenarnya fokus daripada kementerian ini?

No comments:

Post a Comment