Sunday 17 April 2011

TAIB ANGKAT SUMPAH SEBAGAI KETUA MENTERI



Oleh : BERNAMA

TAN SRI Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri di Astana Negeri malam semalam selepas Barisan Nasional (BN) memenangi dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10.

Taib, yang memakai baju Melayu warna ungu, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis ringkas.

Pada pilihan raya negeri kali ini BN memenangi 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Ini adalah penggal kelapan Taib yang juga pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Mac 1981.

Beliau mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan dua pencabarnya, iaitu calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dan calon PKR Suriati Abdullah dengan majoriti 5,154 undi.

Pada pilihan raya negeri 2006, Taib telah mengangkat sumpah jawatan sehari selepas BN memenangi 62 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya itu.

Taib sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan ketua menteri dan ini adalah pilihan raya terakhir yang diketuainya.

No comments:

Post a Comment