Saturday 9 April 2011

TIADA PERUNTUKAN BUKAN ALASAN MPS



Oleh: CHANG SHAK HUNG

KEJADIAN hujan yang berterusan sehingga ke hari ini, telah memberi satu impak bencana yang boleh mendatangkan kemusnahan dan kecacatan pada bentuk tanah akibat daripada air hujan yang kadang-kala lebat dan hakisan tanah serta runtuhan batu-batan akan berlaku, terutamanya di lereng-lereng bukit.

Salah satu runtuhan akibat daripada fenomena alam semula jadi adalah di Jalan Datuk Tay, Batu 8, Sandakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian jalan tersebut merupakan kelolaan Jabatan Kerja Raya; manakala jalan di sebelah dalam merupakan kelolaan Majlis Perbandaran Sandakan.

Pada hari Jumaat, kira-kira pukul 11 pagi, bertempat di tempat kejadian, saya telah meninjau ke kawasan terbabit bersama-sama dengan Jurutera Kanan, Juruperunding Pertama, Dickson Wong serta wakil kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pembaikan dan pembersihan di kawasan runtuhan, Li King Syn.

Melalui pertemuan ini, kontraktor tersebut akan menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan di kawasan runtuhan dalam masa terdekat memandangkan tanah runtuhan telahpun menyekat saluran parit yang telah dibina oleh pihak Malaysian Industrial Development Authority (MIDA) setahun yang lalu.

Di samping itu juga, pihak kontraktor juga akan membersihkan tanah yang telah menyekat sebahagian jalan tersebut di samping membuka satu saliran bagi membolehkan air mengalir dan tidak bertakung.

Bagaimanapun saya meminta pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) agar menjalankan kerja-kerja menghalang kesan runtuhan dalam kadar yang segera bagi mengelakkan runtuhan yang lebih teruk sehingga membahayakan pengguna jalan tersebut memandangkan runtuhan tersebut boleh menjadi lebih serius sekiranya benteng batu (gabion) atau mana-mana cara yang lebih sesuai tidak dibuat bagi menghalang runtuhan daripada jatuh ke atas jalan.

MPS haruslah menjalankan kerja-kerja pemantauan yang berterusan memandangkan runtuhan tersebut semakin serius dan memerlukan tindakan drastik daripada pihak yang berwajib seperti menjalankan ujian terhadap tahap tanah (soil test) dalam kadar yang segera.

Sehubungan itu, MPS haruslah mencari jalan untuk mendapatkan peruntukan kecemasan (emergency funding) daripada pihak yang berwajib dan tidak menggunakan alasan ketiadaan peruntukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Diharap pihak kerajaan negeri mahupun persekutuan dapat menyalurkan peruntukan yang mendesak ini daripada hanya memberi janji bahawa peruntukan kecemasan ini akan disalurkan padahal ia mengambil masa yang lama untuk tiba dan menyebabkan kesengsaraan pihak pembayar cukai tanah; memandangkan runtuhan tersebut telah berlaku berdekatan dengan syarikat perkapalan Coastal Contracts Bhd serta pengguna jalan ke sebuah lagi kilang perkapalan yang lain.

No comments:

Post a Comment