Sunday 10 April 2011

UMNO LABUAN MULA MAIN TAKTIK KOTOR



Saudara Pengarang,

SELEPAS Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Haji Suhaili Abdul Rahman dijatuhkan dengan taktik kotor melalui kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditunggangi pihak tertentu dengan mencipta bukti palsu sehingga menyebabkan Suhaili digantung sehingga kini; UMNO Labuan seperti rumput di tepi jalan, hidup segan, mati tidak mahu.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Yunus Kurus, bagaikan menjadi ‘keldai yang dikembiri’ oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yusof Mahal dan kroninya yang merancang kejatuhan Suhaili; tidak mampu membela ahli UMNO Labuan yang mula kehilangan arah dan sokongan akibat amalan pecah dan perintah yang didogmakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Adnan Mansor.

Dalam mesyuarat cawangan UMNO baru-baru ini ‘Kumpulan Barua Keldai Yang Dikembiri’ telah menyebarkan fitnah bahawa Suhaili tidak dikembalikan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian sekalipun telah mendapat pelepasan daripada Pendaftar Pertubuhan dan dibebaskan Mahkamah kerana beliau adalah penentang ‘Presiden UMNO’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dikhabarkan tidak suka Suhaili dikembalikan ke jawatannya dan terus digantung sehingga pemilihan akan datang.

Taktik kotor ini akan menyebabkan UMNO Labuan akan berpecah kepada tiga bahagian iaitu menyokong Yunus Kurus; pro Yusof Mahal dan penyokong tegar Suhaili.

Senario ini amat membimbangkan kerana ada ura-ura banyak parti pembangkang telah melamar Suhaili termasuk PAS, PKR, SAPP dan KITA jika Suhaili terus digantung dan tohmahan ‘Keldai yang dikembiri’ ada kebenarannya.

Sehubungan itu, saya berdoa agar tabir palsu yang menghijab mata Presiden UMNO terbuka agar dapat melihat kejujuran hati Suhaili yang teraniaya dan menjadi mangsa politik kumpulan 3P iaitu ‘Perosak, Pengkhianat dan Petualang’ kepada UMNO yang terdiri daripada Adnan Mansor, Yusof Mahal dan Yusof Mohammad.

Salam Hormat,

KETUA CAWANGAN TEGAR

NOTA: PERCUBAAN menghubungi Suhaili untuk mendapat pengesahan atau ulasan beliau gagal kerana Suhaili dipercayai berada di luar negara.

No comments:

Post a Comment