Saturday 9 April 2011

YAYASAN KINABALU BANTU 24 PELAJAR MISKIN



Oleh: C.F.WONG

KEPERIHATINAN Pertubuhan Yayasan Kinabalu yang diilhamkan oleh beberapa tokoh korporat dan keusahawanan masyarakat Cina dinegeri ini lebih 10 tahun lalu mampu mengumpul dana sejumlah RM304,600 bagi membantu pelajar-pelajar miskin selain menjana kegiatan kemasyarakatannya.

Pengerusinya, Datuk Chin Chee Kee berkata demikian ketika menyampaikan bantuan dermasiswa kepada seramai 24 pelajar miskin sebagai penerima bantuan sebanyak RM500.00 setiap seorang yang diadakan di SM Chung Hwa Tenom kelmarin (Jumaat).

Beliau menegaskan bahawa, SM Chung Hwa adalah di antara 9 buah sekolah Cina swasta telah menerima bantuan tersebut pada tahun 2011, manakala 6 buah sekolah lagi yang dikategorikan sebagai ‘confirming school’ (penaja sekolah swasta).

Sebelum itu, terutama pada 2008, Yayasan tersebut telah menyumbang bantuan serupa untuk pelajar miskin di seluruh negeri sejumlah RM300,000 dalam bentuk dermasiswa kepada 200 pelajar miskin.

“Yayasan ini juga akan menawarkan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran dalam negara di peringkat pengajian tinggi dengan tidak dikenakan faedah. Selepas pengajian mereka boleh bayar balik secara ansuran seperti pinjaman kerajaan, tetapi ini khusus untuk pelajar miskin sahaja,” tegas Datuk Chin.

Terdahulu, Pengetua SM Chung Hwa Teh Siew Suan ketika mengalu-alukan sumbangan dan bantuan Pertubuhan Yayasan Kinabalu menyifatkan ia suatu perkara yang amat bernilai sekali sumbangan itu kepada golongan pelajar miskin.

Tegasnya lagi, dengan adanya pemberian sumbangan itu pasti akan dapat membantu pelajar miskin melonjakkan peningkatan mereka separa dengan pelajar yang berkeupayaan sedangkan prestasi pembelajaran berdasarkan keputusan PMR dan SPM sebelum ini masih kekal di tempat teratas di Tenom.

Sementara itu dalam satu perkembangan lain yang tidak berkaitan berhubung perebutan pengambil alihan kuasa ke atas Lembaga Pengarah pengurusan sekolah tersebut setahun berlalu oleh beberapa pemimpin yang mendakwa kononnya mereka adalah kumpulan yang sah menduduki jawatan itu beliau berkata;

“Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah SM Chung Hwa, Kapitan Loo Kah Soo menyifatkan tindakan mereka (pihak yang merebut) tidak memahami perlembagaan sekolah yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Mereka bukan sahaja tidak layak dilantik malah tidak ada ‘Locus standi’ mencabar kuasa perlantikan kami.”

Hadir sama di majlis itu, Ahli Majlis Tertinggi LDP yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SM Chung Hwa Kapitan Ng Tet Hau; Pengetua SM Chung Hwa Teh Siew Suan; Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu Kapitan Loo Kah Soo dan guru guru SM Chung Hwa serta para ibubapa pelajar.

No comments:

Post a Comment