Saturday 21 May 2011

300 MW LOJI TURBIN GAS DI KIMANIS


KIMANIS Power Sdn Bhd akan menandatangani kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penjayaan (EPCC) dengan sebuah konsortium yang diterajui CTCI Corporation dari Taiwan Isnin ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dijadual menyaksikan upacara menandatangani kontrak itu, kata Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Yayasan Sabah, Linah Robert, dalam satu kenyataan Jumaat.

Anggota lain dalam konsortium itu ialah CTCI Overseas Corporation Ltd, CTCI Malaysia Sdn Bhd, SYNERLITZ (M) Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai STEAMLINE (M) Sdn Bhd) dan SCHB Engineering Services Sdn Bhd, anak syarikat Suria Capital Holdings Bhd.

Di bawah perjanjian itu, konsortium itu akan membangunkan, membina dan menjayakan loji kuasa janaan gas turbin kitaran tergabung 300MW di Kimanis, Papar, serta kemudahan-kemudahan dan prasarana berkaitan.

Loji kuasa Kimanis adalah projek usaha sama 60:40 antara Petronas Gas Bhd dengan anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah, NRG Consortium (Sabah) Sdn Bhd.

Blok penjanaan pertama yang terletak di lokasi seluas kira-kira 41 ekar dijadualkan siap pada Disember 2013. Loji kuasa itu akan juga menjadi komponen penting grid bekalan tenaga elektrik negeri.

Loji kuasa Kimanis adalah antara pembangunan sampingan daripada cadangan projek terminal minyak dan gas Sabah (SOGT) yang sedang dilaksanakan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd di Kimanis. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment