Sunday 29 May 2011

35 TAHUN MANDI LUMPUR, KINI DISIRAM HARAPAN



Oleh : MUTALIB M.D

SEJAK dibuka pada 1970-an, Rancangan Silabukan yang terletak hanya 20 kilometer daripada Lahad Datu tidak pernah menikmati bekalan air bersih sekalipun telah dijanjikan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada pilihanraya umum 1976.

Ketika itu, saya bersekolah di SK St Stephen dan tinggal di Rancangan Silabukan Peringkat Satu (sebelum berpindah ke Peringkat 2 hingga kini) setelah kami sekeluarga mendapat ‘Taraf Penduduk Tetap’ atau ‘PR’ (1974) Sabah; sebagaimana yang dijanjikan kerajaan negeri Sabah melalui Program Migration Fund Board yang dimomokkan dengan cogankata, “Untuk Kemajuan Ba.”

Sejak daripada itu kami hanya menunggu janji tahun demi tahun dan pilihanraya demi pilihanraya; tetapi Rancangan Silabukan, salah satu ‘Legasi Tun Razak di Sabah’ terabai begitu sahaja.

Anak-anak peneroka yang tidak tahan bermandi lumpur daripada parit, sungai, kolam dan air hujan daripada tangki berkarat akhirnya membawa diri ke bandar mencari hala tuju masing-masing bersama sumpah seranah, namun tidak setegar Sumpah Mahsuri.

Kini, 35 tahun selepas janji dilafazkan, barulah anak Almarhum Tun Abdul Razak, Mohd Najib berjaya menunaikan janji yang dibalut sumpah seranah para peneroka sejak Gugusan Felda Sahabat yang terletak 100 kilometer daripada Lahad Datu menikmati bekalan air bersih pada 1980-an.

April lalu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah melantik sebuah syarikat, Elmar Engineering Services Sdn Bhd untuk melaksanakan Sistem Bekalan Air Di Kg. Rancangan Silabukan, Lahad Datu, Sabah melalui tender terpilih KKW.T.7/2011 dengan kos RM25,287,395.00 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Namun kesangsian masih bersarang di hati kerana dibimbangi trauma penduduk Tungku yang telah mendapat Skim Bekalan Air Luar Bandar yang dibina oleh Antah Biwater pada 1984; namun sehingga 2010 belum mendapat setitik air daripada loji di Mundas yang lebih banyak rosak daripada beroperasi.

Loji ini menjadi Nostalgia kepada saya kerana memenangi ‘Anugerah Silver’ daripada Persatuan Wartawan Sabah ketika menjadi wartawan kanan Berita Sabah kerana menulis isu pembaziran projek ‘Gajah Putih’ loji bekalan air Tungku.

Diharap, Najib tidak membiarkan generasi kedua peneroka Rancangan Silabukan yang sebahagian besar daripada Semenanjung ‘dieksport bapanya’ ke Sabah, termasuk keluarga saya daripada Baling, Kedah terus mengutuk beliau jika Skim Bekalan Air ini yang dilaksanakan di bawah NKRA tergendala atau menemui kegagalan sedangkan beliau masih menunggu mimpi indah untuk membubarkan parlimen pada 11.11.2011!

No comments:

Post a Comment