Monday 30 May 2011

50 % AHLI PUTERI KENINGAU LAYAK MENGUNDI



NYANYI…..Junaidah (tiga dari kiri) bersama Sairin dan barisan kepimpinan Puteri Umno Keningau semasa menyanyikan Lagu Umno dan Lagu Puteri.

Oleh : MARUTIN ANSIUNG

PERGERAKAN Puteri Umno Keningau yang kini berusia sepuluh tahun terus aktif dalam mempergiatkan gerak kerja dalam memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke 13 (PRU13) akan datang.

Ketua Puteri Umno Bahagian Keningau, Puan Junaidah Sapli berkata, di samping mengekalkan momentum yang sedia ada, Puteri Umno Keningau terus giat dengan kempen keahlian Umno dan kempen daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, Puteri di bahagian ini juga melipatgandakan usaha mendekati dan seterusnya memenangi hati semua peringkat pengundi.

“Dalam fasa mendekati dan memenangi hati peringkat pengundi ini, Puteri telah melihat dan mengenal pasti empat fasa yang perlu diambil kira,” kata Junaidah dalam ucap utamanya pada persidangan perwakilan Puteri Umno Bahagian Keningau di hotel Perkasa di sini kelmarin.

Persidangan perwakilan Puteri Umno Bahgian Keningau itu dirasmikan oleh Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Haji Sairin Haji Karno.

Junaidah berkata, fasa pertama yang dikenal pasti oleh Puteri Umno adalah status layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih yang dikategorikan sebagai tidak tahu, tidak kisah dalam bacaan sikap tiada warna.

Fasa kedua katanya, adalah layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih tetapi ‘tidak kisah kerana selesa sama ada penyokong kerajaan atau pro pembangkang di bawah bacaan sikap atas pagar atau kelabu.

“Sementara yang ketiga, status layak mengundi, telah mendaftar tetapi ‘tergelincir’ dari landasan yang betul atau pro pembangkang dibawah bacaan sikap hitam dan yang keempat status layak mengundi, telah mendaftar, berada dilandasan yang betul, pilihan yang bijak dan masa yang tepat dibawah bacaan sikap putih,” jelas Junaidah.

Dalam hal ini katanya, Puteri bukan sahaja memastikan kategori yang keempat itu tetap dalam tangan tetapi juga memastikan kategori pertama, kedua dan ketiga itu akan berada di landasan yang betul menjelang PRU13 akan datang.

Junaidah berkata, setakat ini lebih 50 peratus ahli Puteri telah didaftar sebagai pemilih manakala selebihnya akan didaftar selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Dalam masa yang sama Ketua Puteri Umno Bahagian Keningau itu mengajak seluruh ahli Umno khususnya ahli Puteri merakamkan penghargaan kepada jasa-jasa pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah merintis perjuangan Umno yang masih releven sebagai landasan perjuangan politik sehingga hari ini.

Beliau juga membawa ahli-ahli Puteri Umno Keningau agar terus memberi sokongan kepada Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Prseiden Umno dan Datuk Seri Musa Haji Aman sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

Dalam persidangan perwakilan Puteri Umno Keningau mengusulkan agar Ketua Umno Bahagian Keningau Datuk Haji Sairin Haji Karno kekal sebagai Wakil Rakyat DUN Liawan.

No comments:

Post a Comment