Saturday 7 May 2011

ANIFAH KESAL INDONESIA PENJARA NELAYAN



Oleh: KORESPONDEN SABAHKINI.NET DI JAKARTA

MENTERI Luar, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan rasa kesal teramat sangat kepada rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr Marty Natalegawa berhubung hukuman berat yang dijatuhi sebuah mahkamah di Bengkalis, Riau ke atas enam nelayan Malaysia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu 8 Mac lalu.

“Hukuman berat ke atas nelayan terbabit tidak mencerminkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat dua hala di Kota Kinabalu tahun lepas mengenai sikap tolak ansur pihak berkuasa kedua-dua negara terhadap aktiviti menangkap ikan oleh nelayan di kawasan sempadan maritim yang masih dalam pertikaian,” ujar Anifah yang meyakini Malaysia sudah bersikap adil terhadap semua rakyat Indonesia yang memasuki Malaysia secara haram.

Kata Anifah, hukuman 30 bulan penjara setiap seorang dan denda Rp1 bilion (RM350,000) atau tiga bulan penjara agak keterlaluan. Saya amat sedih kerana mereka hanyalah nelayan miskin," katanya yang kesal kes itu tidak dapat diselesaikan sebelum nelayan terbabit dibawa ke mahkamah.

Anifah menyampaikan keluhan beratnya berhubung nasib nelayan berkenaan kepada Natalegawa di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Jakarta, kelmarin.

“Sebelum ini saya secara peribadi telah menghubungi Natalegawa untuk meminta kerjasama kerajaan Indonesia agar membebaskan nelayan terbabit sebelum mereka didakwa,” kata Anifah yang memaklumkan bahawa kumpulan enam nelayan itu ditahan Polis Air Republik Indonesia, 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor pada 8 Mac lalu.

Menurut Anifah, beliau merayu agar hukuman ke atas nelayan terbabit diringan dan memohon mereka dibebaskan dalam masa terdekat kerana mereka telah ditahan selama dua bulan.

Kata Anifah lagi, beliau bimbang perkembangan itu akan menyebabkan rakyat Malaysia menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan serupa terhadap nelayan Indonesia yang didapati menceroboh perairan Malaysia pada masa akan datang.

“Malaysia selama ini mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara dengan hanya mengambil kenyataan sebelum membebaskan mereka,” kata Anifah yang telah mencadangkan agar pihak berkuasa kedua-dua negara duduk bersama bagi membincangkan prosedur operasi yang harus dilakukan bagi menangani kes berkenaan.

Dalam pada itu, Anifah turut mengulas mengenai penahanan tiga anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia di depan Sekretariat Asean Khamis dalam demonstrasi berhubung Sidang Kemucak Asean.

Katanya, Malaysia menghormati kedaulatan Indonesia dan jika didapati mereka melanggar undang-undang, mereka harus dibawa ke mahkamah, jika tidak mereka harus dibebaskan. Namun ketiga-tiga rakyat Malaysia itu telah dibebaskan selepas polis mengambil keterangan mereka.

No comments:

Post a Comment