Tuesday 3 May 2011

BAHTERA LDP BELUM KARAM DI KARAMBUNAI



Oleh: ROZIE JUMAT

Di SEBALIK kemelut yang menimpa Parti Liberal Demokratik (LDP) dan perang media terhadap parti itu, tidak sama sekali menjejaskan kredIbiliti parti itu untuk menambahkan lagi kekuatannya sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN).

Terbaru LDP telah melebarkan sayapnya ke Bahagian N.12 Karambunai dengan diketuai oleh seorang peguam muda bernama, Loretto Sipin Padua JR.

Menurut Lorreto, beliau telah memikirkan tentang LDP lima tahun yang lalu ketika Presiden parti itu Datuk V.K Liew mempelawa beliau menyertai LDP.

Namun ketika itu kata Lorreto beliau berpegang prinsip yang diajar oleh Presiden itu sendiri “if want to commit with something, you must be willing and able..”

“Pada ketika ini saya telah bersedia untuk memberi komitmen dan saya juga tertarik dengan perjuangan Parti LDP yang ikhlas dalam membela nasib rakyat tanpa mengira kaum,” ujar Loretto.

Ketua bahagian Penaja N.12 Karambunai itu berkata, Parti LDP sering menyuarakan apa sahaja masalah yang melibatkan kepentingan rakyat Sabah, tidak pernah takut dan tidak pernah tunduk dalam menyuarakan pandangannya sekiranya kepentingan rakyat diabaikan.

“LDP akan tetap berdiri dan tidak akan berkompromi dengan polisi-polisi yang tidak adil. Atas dasar itulah, saya secara peribadi amat tertarik dengan Parti LDP dan telah mengambil keputusan untuk menyertai LDP dan bersama-sama berjuang demi kepentingan rakyat Sabah dan Negeri Sabah,” ujarnya yang merupakan seorang pengamal undang-undang.

“Terima kasih kepada LDP kerana telah menerima saya dengan hati yang terbuka. Diharap kita dapat bersama-sama di dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan melawan segala salah laku ke atas rakyat,” tegas Lorreto.

LDP di kawasan itu juga memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi memastikan BN akan menang di kawasan tersebut apabila tiba pilihanraya umum.

Menurut Lorreto, LDP Bahagian N.12 Karambunai telah menyediakan pelbagai pelan rangka dan aktiviti bagi menawan dan mendekati hati masyarakat di Sepanggar yang rata-rata terdiri daripada pelbagai kaum.

Majlis perasmian penubuhan bahagian itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung, Datuk Teo Chee Kang yang juga ADUN N.1 Tanjung Kapor.

Sementara itu, Teo berkata penubuhan bahagian parti itu adalah sesuatu yang bersejarah bagi LDP kerana buat pertama kalinya seorang bukan Cina mempengerusikan bahagian parti itu.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu meskipun parti ini berasaskan parti Cina kita mempunyai ramai keahlian dari kalangan Muslim dan Bumiputera Bukan Islam kerana konstitusi parti ini tidak menghadkan keahlian semata mata kepada orang Cina,” kata Teo ketika merasmikan penubuhan bahagian tersebut.

Sebanyak 84 keping borang keahlian menyertai Parti LDP telah diserahkan oleh Pengerusi penaja Parti LDP bahagian N.12 Karambunai, Loretto Sipin Padua Jr kepada setiausaha penganjur, Yong Wui Chung disaksikan oleh Setiausaha Agung LDP, Datuk Teo Chee Kang sempena majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment