Tuesday 3 May 2011

BATERI ASID PLUMBUM KKLW TEPATI PIAWAI



Oleh: NADZERAH ABDULLAH

KAMI ingin merujuk kepada posting tentang Bateri Asid Plumbum yang mana timbul dakwaan ia berbahaya kepada manusia dan alam sekitar, impak penggunaan seharian dalam menjana dan membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada penduduk terutama di kawasan yang sukar untuk perbekalan tenaga elektrik grid biasa.

Dakwaan 1: Bateri Asid Plumbum Berbahaya Kepada Penduduk Sabah

Bateri Asid Plumbum yang digunakan di bawah program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Malaysia adalah selamat digunakan kerana telah mematuhi piawaian/spesifikasi antarabangsa seperti berikut:

Piawaian Prestasi oleh IEC 896-1

Piawaian Saiz dan Kapsiti oleh DIN40736

Piawaian Pengeluar oleh UN2794MSDS

Piawaian yang sama juga digunakan oleh pihak berkuasa untuk menentukan sama ada ianya selamat dan boleh digunakan semasa proses mengeluarkan tender atau pemberian kontrak pemasangan.

KKLW sentiasa mencari dan menggunapakai kaedah yang selamat, berkesan (tenaga elektrik 24 jam) dan tanpa melibatkan pembaziran wang Kerajaan dalam penyediaan kemudahan kepada rakyat.

Dakwaan bahawa Basel Convention mengharamkan penggunaan bateri Asid Plumbum adalah tidak berasas kerana bateri berkenaan adalah selamat digunakan jika kaedah penyimpanan, penggunaan dan pelupusan dipatuhi mengikut Basel Convention Series / SBC No 2004/5

Dakwaan 2: Bateri Berkenaan Boleh Menyebabkan Masalah Keracunan Plumbum Kepada Penduduk Sekitar Dan Pelajar Sekolah Yang Berdekatan

Pihak kami telah menghubungi Klinik Kesihatan Pulau Banggi, Kudat, Sabah (sampel kawasan tinjauan) antara 15 April-19 April lalu dan melalui keterangan oleh Medical Assistant klinik berkenaan, sehingga kini disahkan tiada sebarang kes atau penyakit yang berpunca dari keracunan plumbum kecuali penyakit biasa yang disebabkan oleh viral infection.

Pihak klinik juga tidak pernah merawat sebarang penyakit berpunca daripada keracunan plumbum terhadap para pelajar di kesemua 14 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan.

Hasil kajian oleh Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS) juga mengesahkan bahawa tidak berlaku keracunan plumbum terhadap air di kawasan yang mempunyai Bateri Asid Plumbum seperti laporan ini.

Dakwaan 3: Bateri Berkenaan Boleh Mendatangkan Bahaya Kerana Mengeluarkan Gas Daripada Proses Charge And Recharge.

Bateri Asid Plumbum berfungsi seperti bateri kereta (dan tiada laporan keracunan plumbum bateri kereta sehingga kini sekiranya dilupuskan dengan tatacara yang betul) di mana ia mempunyai seal yang tidak mengeluarkan sebarang gas, air bateri dan sebagainya kerana telah memenuhi piawaian DIN40736.

Pihak kami juga dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar bahawa jika kaedah pelupusan tidak mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) maka terdapat kemungkinan berlakunya pencemaran plumbum.

Sehubungan itu pihak kami dimaklumkan juga bahawa pihak berkuasa seperti SESB, SESCO dan TNB mempunyai kawalan pelupusan yang ketat serta pengawasan semasa oleh JAS.

JAS turut memaklumkan bahawa pihak mereka sentiasa melakukan kajian pencemaran sebanyak 4 kali setahun di seluruh Malaysia, tidak termasuk kes-kes yang dilaporkan dan kes-kes kecemasan.

Bateri berkenaan mempunyai jangka hayat antara 10-15 tahun dan dikawal selia oleh pihak berkuasa seperti SESB (sebagai contoh) yang ditempatkan secara bersiri di dalam bangunan tertutup (dengan sistem ventilator). Bateri sebegini juga digunapakai oleh semua negara yang mempunyai sistem telekomunikasi, bekalan elektrik dan penggunaan kereta/kenderaan.

Kesimpulan

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penulis, pengunjung dan Editor blog ini kerana menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan penduduk luar bandar khasnya berhubung dengan penggunaan Bateri Asid Plumbum.

Secara tidak langsung ianya memberi kesempatan kepada semua pihak untuk berkongsi pandangan dan idea yang bernas. Di pihak kami pula kami dapat memberi penjelasan sebenar kepada semua pihak yang melayari blog berinformatif ini.

Ingin kami maklumkan bahawa pihak kami sentiasa terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuklah NGO alam sekitar demi membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada komuniti luar bandar dengan cara yang selamat dan pada masa yang sama mengelakkan perbelanjaan yang boleh merugikan rakyat khususnya dan pihak Kerajaan amnya.

(NOTA: Nadzerah Abdullah merupakan Pegawai Komunikasi Korporat, KKLW)

No comments:

Post a Comment