Saturday 7 May 2011

BIOMETRIK OMONG KOSONG ATAU REALITI?



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

PENGUMUMAN Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Alias Ahmad bahawa Negara ini akan memulakan penggunaan sistem biometrik kepada warga asing yang memasuki negara ini bermula Jun depan, hanya sebagai omong kosong dan tidak mungkin menjadi realiti di Malaysia.

Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Batu Sapi, Zainuddin Hassan menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan media Alias yang mengumumkan buat permulaan, penggunaan sistem pengimbas itu akan digunakan di 61 daripada 96 pintu masuk yang aktif di seluruh negara.

“Walaupun Sistem pengimbas cap jari ini hanya memerlukan masa 1 minit 20 saat kepada setiap warga asing yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk sama ada darat dan laut, namun tidak praktikal di negara ini, terutama di Sabah kerana Akta Imigresen yang longgar dan penguatkuasaan yang bolos," kata Zainuddin yang meremehkan Alias yang menyasarkan untuk menyelaraskan penggunaan sistem itu di semua pintu masuk negara menjelang akhir tahun ini.

Kata Zainuddin, Sabah menghadapi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin yang serius kerana kegagalan Jabatan Imigresen menguatkuasa undang-undang sekalipun sistem pasport biometrik telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

“Sindiket pemerdagangan orang begitu sukar dibasmi kerana majoriti pegawai Imigresen menjadikan rasuah sebagi amalan seharian terutama di Pelabuhan Barter Trade Sandakan dan Pelabuhan Penumpang Tawau yang menjadi pintu masuk dan keluar warga asing tanpa sekatan,” tegas Zainuddin yang mendakwa bahawa penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang bukan rahsia lagi di Sabah.

Zainuddin mengambil contoh, pendedahan Sabahkini.net melalui artikel ‘Sabah Kekal Pusat Penyeludupan Manusia?’; ‘Pegawai Imigresen Jadi Peguam Negara?’ dan ‘Barter Trade, Pirate Of The Carry-BN?’ menunjukkan Jabatan Imigresen bukan sahaja gagal menguatkuasa Akta Imigresen, malah menjadi talibarut dalam kegiatan pemerdagangan orang sehingga Bekas Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah sertai ramai kakitangan bawahan diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Zainuddin menggesa agar Jabatan Imigresen tidak berdolak-dalih berhubung penguatkuasaan undang-undang dan mengemaskinikan skima pemantauan agar tidak menjadi seperti ‘kambing menjaga sirih’.

“Sabah memerlukan Pengarah Imigresen yang mempunyai kuasa autonomi dan tidak tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia sejajar dengan Perkara 6: Imigresen dalam Perjanjian 20 Perkara yang menyebut;

“Control over immigration into any part of Malaysia from outside should rest with the Central Government but entry into North Borneo should also require the approval of the State Government. The Federal Government should not be able to veto the entry of persons into North Borneo for State Government purposes except on strictly security grounds. North Borneo should have unfettered control over the movements of persons other than those in Federal Government employ from other parts of Malaysia into North Borneo.”

Jika tidak, kata Zainuddin, segala usaha akan menjadi sia-sia disebabkan mereka tidak mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan terpaksa tunduk kepada kuasa politik dan terdedah kepada rasuah sehingga jumlah warga asing di Sabah kini mengatasi penduduk tempatan.

No comments:

Post a Comment