Sunday 15 May 2011

BN AKAN KECUNDANG MARA BERSIKAP KEJAM



Saudara Pengarang,

SYABAS Hj Hamzah Abdullah kerana berani membuat teguran terhadap pihak MARA mengenai sikap double standard atau pilih bulu dalam pengagehan pemberian pinjaman kepada pelajar yang terdiri daripada anak-anak tempatan, khususnya yang bergelar bumiputera seperti yang tersiar di Sabahkini.net bertajuk “Mara Anaktirikan Suku Kaum Brunei/Tidung’.

Cerita mengenai sikap tidak keadilan pihak MARA memang cukup ketara sekali melalui insiden yang menimpa Hj Hamzah dan sama juga apa yang telah saya alami, tahun lalu (2010).

Anak perempuan saya yang telah membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian tinggi di UITM Kota Kinabalu dan mengisi borang dengan lengkapnya serta patuh dengan syarat-syarat yang dikehendaki dan ditetapkan oleh pihak UITM.

Borang permohonannya di bawa sendiri oleh anak lelaki sulung saya kerana dia adalah mantan mahasiswa (pelajar) UITM pada tahun 2005. Namun setelah borang tersebut diserahkan kepada salah seorang pegawai pengurusan UITM dengan dilampirkan dokumen-dokumen yang diperlukan; selang beberapa hari anak saya menerima panggilan dari UITM menyatakan bahawa permohonan anak saya tidak dapat mempertimbangkan semata-mata kerana saya berketurunan Jawa dan isteri saya daripada kaum Suluk; sejajar dengan maklumat dalam Sijil Lahir anak saya.

Kata Pegawai UITM tersebut, orang Jawa adalah orang Indonesia dan Suluk orang Filipina. Walaupun moyang, nenek dan bapa kamu di lahirkan di Sabah khususnya di Malaysia, kamu tetap orang Indonesia. Oleh itu MARA, khususnya UITM tidak dapat memberi keutamaan kepada kedua bangsa ini .

Jadi apa cerita dengan orang Jawa yang berada di Johor seperti di Batu Pahat, Pontian, Muar, Kota Tinggi, Mersing, termasuk di Banting Selangor dan Kampung Pandan Selangor? Adakah mereka ini juga masih bertaraf orang Indonesia?

Ekoran daripada sikap diskriminasi UITM, maka anak saya langsung tidak diberi peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi khususnya tajaan MARA atau UITM.

Saya amat hairan kerana begitu ramai Warganegara Indonesia dan Filipina yang mendapat IC Projek yang bernombor H048XXXX atau H050XXXX tetapi anak mereka dapat belajar di UITM dan menerima pelbagai insentif berbanding dengan Anak Jati Sabah.

Sewajarnya UITM dan Kementerian Pengajian Tinggi menyiasat isu penting ini kerana jika dibiarkan Barisan Nasional akan berkubur pada pilihanraya umum akan datang disebabkan pegawai yang tidak berpengetahuan tentang suku kaum Anak Negeri Sabah dan membuat tafsiran sendiri sehingga menzalimi Anak Negeri Sabah.

Salam Hormat,

SHAIMON S JUMADI

No comments:

Post a Comment