Monday 16 May 2011

BUKAN SAHAJA CEROBOH, MALAH KURANG AJAR!



Saudara Pengarang,

SEBAGAI ahli UMNO Kimanis, saya bukan sahaja kecewa dengan tindakan nekad Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menceroboh kawasan Datuk Anifah Aman, malah bersikap kurang ajar dengan mengimport ramai penyokong luar daripada Keningau, Pensiangan, Papar, Penampang dan luar kawasan dengan menyediakan bas percuma bagi memeriahkan program Task Force UMNO KDM di SK Lady Fatima (2) Kg Kelatuan, Papar.

Pengunduran ‘Ketua Penganjur’ John Ambrose daripada mempengerusikan majlis berkenaan tidak mematahkan Shafie untuk meneruskan majlis tersebut sekalipun ahli UMNO papar dan Kimanis memboikot majlis yang disifatkan menyiram minyak ke dalam api permusuhan.

Saya amat kesal apabila Shafie yang terlewat sampai ke majlis berkenaan menambah semarak kemarahan ahli UMNO Kimanis dengan mengatakan;

"Saya tahu program ini menerima tentangan dan kekangan. Saya orang Umno dan saya orang Sabah. Saya boleh saja pergi ke mana-mana sahaja. Kenapa ada pihak yang bimbang dan risau dengan kehadiran saya di Kimanis."

Jika inilah contoh kepemimpinan yang dibudayakan Shafie, UMNO akan layu sebelum berkembang menjelang pilihanraya umum akan datang.

Saya teramat kesal kerana Naib Presiden yang tidak beradat ini telah menceroboh kawasan Datuk Anifah tanpa restu Anifah sedangkan beliau sedar bahawa hubungan suram antara beliau dengan abang Datuk Anifah, iaitu Datuk Seri Musa Aman masih berjerebu.

Tambah mengecewakan saya, semua juak-juak politik yang turut bersubahat mencambahkan benih-benih kebencian ialah Datuk Abdul Rahim Ismail, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, Datuk Dr Yusof Yaakub, Azman Ruslan, Jamawi Jaafar, Hafiz Sua dan Ketua Jabaran Agensi serta GLC di bawah KKLW.

Selain Gurkha Politik Shafie ini, majlis tersebut turut dihadiri mantan Adun Kunak Datuk Jasa Rauddah; Penolong Pegawai Daerah Papar William Ahlan; Pegawai Pelajaran Daerah Abidin Marjan dan mantan Ketua Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO Keningau Azman Hj Ruslan.

Majlis Penyerahan Sumbangan Pelajar Termiskin Luarbandar dan Sumbangan Sekolah sempena Pesta Kaamatan 2011 yang berselindung di sebalik anjuran Task Force UMNO Malaysia (KDM) di SK Our Lady Of Fatima, Kg Kelatuan, Papar yang kira-kira 3,000 orang, majoritinya diangkut dari luar Kimanis; sebagai Saiwar terhadap Anifah Aman.

Sekalipun saya kecewa dengan lagak ‘ayam serama’ daripada Semporna ini, tetapi amat berharap agar Datuk Seri Anifah Aman tidak membalas tindakan kurang ajar Shafie dengan dendam kesumat kerana setiap perbuatan buruk Shafie akan terserlah juga di suatu hari nanti dan telah mendapat kisas di dunia setelah bapa mertuanya, Datuk Shuib Lazim terlibat dengan Skandal Video Lucah baru-baru ini.

Pihak Penganjur bukan sahaja memalukan UMNO kerana menggunakan Pasukan Task Force UMNO (KDM) yang tidak pernah wujud atau lebih tepat ‘Pertubuhan Ad-Hoc’ secara haram; sehingga sanggup menjual nama Presiden UMNO yang kononnya merestui majlis berkenaan.

Back Drop yang dipasang pihak penganjur sekaligus menjual wajah Presiden UMNO, Ketua Menteri Sabah, Datuk Anifah dan pemimpin lain tanpa restu mereka demi untuk mengaburi mata ahli UMNO yang tidak tahu apa-apa, melainkan datang untuk bersuka ria dan menerima laptop 1Malaysia dan bantuan lain daripada kerajaan.

Sehubungan itu, saya meminta Datuk Shafie agar meminta maaf secara terbuka dan tidak menunjukkan sikap bebal beliau jika ingin terus dihormati di Sabah. Sebagai pemimpin UMNO, Shafie sepatutnya tidak memperbaharui sengketanya dengan musuh politik beliau, Datuk Seri Musa Aman dengan menyerang Datuk Anifah; bak kata pepatah ‘tidak dapat tanduk, telinga dipulas’.

Salam Hormat,

AHLI UMNO KIMANIS YANG TERKILAN

1 comment:

  1. Ucapan terima kasih kepada Datuk Shafie kerana meluangkan masa untuk membuat perasmian.

    ReplyDelete