Sunday 22 May 2011

JALAN KENINGAU-KALABAKAN UNTUK KERETA LEMBU?



Saudara Pengarang,

SAYA ingin menarik perhatian berkenaan janji kerajaan BN untuk menaiktaraf Jalan tanah merah Keningau-Kalabakan ke jalan berturap dan janji berkenaan diperbaharui awal tahun ini oleh Menteri Infrastruktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Setelah sekian lama tertunda dan ditunda seperti kereta lembu tanpa tayar; walaupun peruntukan sudah ada, tetapi apa yang saya lihat baru-baru ini semasa melalui jalan tersebut, sungguh menyedih dan memalukan.

Rasa sangat geram dan marah membuak-buak di hati. Betapa tidak, sepatutnya jika kerja-kerja penurapan tersebut benar-benar mengikut jadual, saya ingat jalan tersebut sudah lebih daripada separuh siap.

Saya sudah terbayang-bayang membawa kereta buatan Malaysia untuk melalui jalan tersebut pada musim cuti ini, namun jangkaan saya meleset sama sekali. Malah apa yang saya lihat, jalan tersebut semakin teruk, tidak ubah seperti jalan balak seperti di era 60-an.

Persoalannya, adakah projek jalan ini perlu menunggu PRU-13 untuk dilaksanakan? Jika masih menggunakan taktik kebudak-budakan itu, tunggu saja hukuman semasa ‘Tsunami Politik’ akan datang sebagai hadiah daripada rakyat Sabah.

Mungkin Pairin dan Pemimpin Persekutuan yang selalu menabur janji tidak sedar betapa besarnya faedah jalanraya ini kepada rakyat terutama kepada masyarakat di Keningau, Tenom, Tambunan, Papar dan sebagainya; malah seluruh pengguna jalanraya kerana mereka lebih suka melalui jalan ini daripada menggunakan Lebuhraya Bertar Kota Kinabalu-Tawau.

Selain menjimatkan masa, para pengguna jalan raya juga dapat faedah jimat minyak kereta. Sebagai contoh, saya yang menetap di Tenom, jika saya guna Lebuhraya KK-Tawau, saya akan melalui jalan sejauh lebih kurang 600 lebih kilometer; tetapi jika guna Jalan Keningau-Kalabakan saya cuma perlu melalui lebih kurang 350 kilometer sahaja. Saya perlu mengisi dua kali penuh tangki minyak kereta saya melalui Kota Kinabalu-Tawau; sebaliknya hanya perlu isi penuh tangki sekali sahaja untuk sampai ke Tawau jika melalui Jalan Keningau-Kalabakan ini.

Oleh itu, saya dan pengguna lain berharap agar Sabahkini.net membongkar Skandal di sebalik kendala projek penting ini sebelum rakyat menolak BN pada pilihanraya umum akan datang.

Salam Hormat,

ERIC PATRICK

No comments:

Post a Comment