Tuesday 31 May 2011

JALAN PINANGKAU EHSAN LADANG SAWIT



GRAVEL.....James menunjukan jalan gravel masuk menuju ke Kampung Pinangkau Paitan atas hasil usaha pihak Komsia.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

JALAN tanah merah dan berbecak sejauh 6 kilometer daripada persimpangan jalan besar menuju masuk ke kawasan Kampung Pinangkau, Paitan Sugut telah menimbulkan pelbagai masalah kepada petani dan penoreh untuk mengeluarkan hasil mereka.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran, James Miki yang membuat lawatan kerjanya sehari bersama-sama Sabahkini.Net ke kawasan kampung tersebut untuk meninjau lebih dekat lagi segala permasalahan yang dihadapi penduduk kampung kesal kerana jalan berkenaan belum diambil alih dan dinaiktaraf kerajaan negeri.

James yang juga Ahli Majlis Daerah Beluran menjelaskan sebenarnya kampung tersebut baru sahaja mendapat jalan mutu minima atas ehsan pemilik Ladang Sawit iaitu Komsia yang membina jalan tersebut untuk kegunaan mereka dan menunaikan tanggung jawab sosial mereka terhadap penduduk kampung yang bersempadan dengan ladang mereka.

Tambah James lagi, sebelum wujudnya jalan tersebut orang kampung berkenaan terpaksa merentasi denai di hutan sejauh 6 kilometer sejak berpuluh tahun lalu.

“Sebagai AJK UMNO Bahagian, merangkap Bendahari Barisan Nasnional (BN) Labuk Sugut, saya merayu agar Ahli Parlimen Beluran dan Adun Sugut supaya dapat menyalurkan projek pembangunan; khususnya membubuh batu kelikir ke atas jalan yang dimaksudkan itu demi keselesaan penduduk kampung bagi memasarkan hasil mereka,” kata James.

Tegas James, bukankah ini sebahagian daripada janji kerajaan BN, khususnya yang diucapkan kedua wakil rakyat berkenaan semasa berkempen pada pilihanraya umum lalu.

“Ketika itu mereka berhabis-habisan menabur janji dan sekiranya mereka dipilih semula menjadi wakil rakyat BN, maka segala projek akan disalurkan ke setiap kampung dan kawasan yang mereka wakili demi kesejahteraan rakyat dalam mengecapai kemudahan. Tetapi di mana sudah janji-janji itu?” tanya James lagi.

No comments:

Post a Comment