Saturday 21 May 2011

JALANRAYA BERCUTI KETIKA HUJAN?



DAIF… Jalan raya kampung Binsilon dan Tumantalik yang ‘bercuti’ ketika hujan.

Oleh: HJ.WAHAB TIMPAI.

MASYARAKAT di kampung Binsilon dan Tumantalik, Tenom tidak berputus asa membuat desakan kepada kerajaan dengan harapan mereka dapat menikmati jalan raya yang selesa seperti di tempat lain dalam kawasan Dewan Undangan Melalap dan Parlimen P 181 Tenom.

Ramai sudah para wartawan keluar masuk ke perkampungan itu yang diduduki kira-kira lebih dari 300 keluarga untuk meninjau secara dekat masalah yang dihadapi penduduk.

Dua perkampungan ini hanya satu kilometer jaraknya daripada pekan dan hanya 500 meter dari jambatan Binai yang kini sedang dalam pembinaan untuk diperbesarkan daripada jambatan sedia ada yang menelan belanja RM11 juta.

Jalan raya masuk ke perkampungan Binsilon dan Tumantalik ini merupakan jalan utama menghububugi jalan besar ke pekan Tenom, mudah dinaiki air daripada limpahan Sungai Padas dan Pegalan kerana kawasan jalan raya tersebut agak terlalu rendah.

Laporan demi laporan dari wartawan dengan menemu bual berapa penduduk sebagai jurucakap kepada media berulang-ulang namun langsung tiada reaksi dari kerajaan.

Wartawan Sabahkini.net kali ini cuba sekali lagi melaporkan dengan harapan wakil rakyat Melalap Datuk Radin Malleh dan Ahli Parlimen (Tenom) Datuk Raimie Unggi bersama-sama turun padang melihat dengan mata kepala mereka sendiri keadaan jalan raya di perkampungan tersebut.

Setiap wartawan membuat laporan di tempat yang tidak disenangi oleh rakyat, bukan bertujuan memburukkan imej wakil rakyat sebenar, tetapi sekadar memberi peringatan yang mungkin mereka tidak berkesempatan meninjau ke tempat tertentu dalam kawasan mereka kerana kesibukan tugas di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur .

Apapun, syabas kepada Datuk Radin Malleh selaku wakil rakyat N.35 Melalap berjaya mendapat peruntukan sebegitu besar dalam pembinaan Jambatan di Binaie Tenom.

Justeru itu, kedua-dua yang berhormat ini Radin dan Raimie dapat duduk semeja membincangkan mengatasi rintihan penduduk kampung Binsilon dan Tumantalik mengenai jalan raya mereka itu yang hanya kira-kira 700 meter dari rumah kediaman Radin.

Diharap dengan tersiarnya laporan ini dengan tinjauan sendiri wartawan dari Sabahkini.net ke tempat tersebut agar mendapat perhatian daripada kerajaan.

Difahamkan ada di antara penduduk daripada kampung itu tersebut bercadang untuk mengadu masalah mereka itu kepada Perdana menteri Dato Seri Najib Tun Razak yang dijadulkan datang di Tenom 11 Jun kelak.

No comments:

Post a Comment