Monday 2 May 2011

JANGAN ABAIKAN NASIB WANITA SABAH



Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada kepergian Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Istanbul, Turki untuk menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 yang berlangsung selama tiga hari mulai khamis ini adalah berita menggembirakan tetapi bersulam kecewa kerana nasib wanita di Sabah terus terabai.

Menurut media, sidang kemuncak yang bertemakan ‘Wanita: Membina Penyelesaian Kepada Abad 21’ merupakan forum tahunan bagi tokoh dan pemimpin negara merangka halatuju, strategi dan program ke arah meningkatkan pencapaian wanita dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

Memandangkan Rosmah dijadual akan menyampaikan ucapan dan menjadi anggota panel Forum Wanita Pertama yang akan diadakan pada Jumaat, bersama-sama isteri Perdana Menteri Turki Emine Erdogan dan Wanita Pertama Namibia Penehupifo Pohamba; maka kami merayu agar beliau turut merangkum isu wanita di Sabah yang selama ini diabaikan oleh pertadbiran suami beliau.

Tambahan pula, Rosmah akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta 65 orang, termasuk anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), usahawan-usahawan wanita serta pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta SME Corporation.

Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan keluhan wanita Sabah yang gagal ditangani Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sehingga tidak mempunyai hala tuju ekoran daripada wujudnya sindiket memperdagangkan orang dan menjadi pekerja seksual (GRO) di kelab malam.

Ramai gadis Sabah dari pedalaman telah dipelawa bekerja di Semenanjung dengan tawaran gaji yang lumayan tetapi apabila sampai di Semenanjung, mereka diperdagangkan sebagai GRO dan menjadi pelacur di Brick Field, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Melaka. Ada juga yang dihantar ke Labuan untuk menjadi pemuas nafsu warga asing yang bekerja di Pelantar Carigali Minyak.

Jumlah wanita Sabah yang menjadi pekerja seks di Brickfield kini mencecah 212 orang dan menurut bancian yang dibuat NGO, kebanyakan mereka dikawal ketat oleh sindiket pelacuran yang bertindak memindahkan mereka ke Pulau Pinang dan Melaka setelah tiga bulan diperdagangkan di Brickfield.

Sindiket berkenaan turut memperdaya para pelajar IPTA dan IPTS menjalankan kerja sambilan sebagai GRO tetapi dipaksa melayan pelanggan sampai ke bilik tidur sehingga tercicir daripada pelajaran.

Manakala wanita di Sabah juga terjebak dengan kegiatan pelacuran dan menjadi pengedar dadah melalui sindiket yang bergerak secara bebas tanpa takut kepada pihak berkuasa kerana didalangi ‘Big Boss’ di Bukit Aman dan pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kapayan.

Pendatang asing daripada India dan Pakistan yang telah mendapat kad pengenalan projek atau menggunakan pas lawatan yang tamat tempoh sering memperdaya wanita tempatan membeli barang dagangan mereka secara kredit dan apabila gagal membayar hutang; mereka menagih seks sehingga menyebabkan ramai keluarga bercerai kerana mendapat anak kacukan Pakistan atau India sedangkan suaminya Dusun tulen.

Skim Tekun dan Usahamaju hanya diberikan secara terpilih menyebabkan wanita di Sabah terpaksa bergantung kepada Ceti Haram (Pakistan dan India) serta Along yang mengenakan kadar bunga yang tinggi dan terpaksa ‘menjual’ anak perempuan mereka kepada Along untuk membayar hutang.

Terdapat lebih 600 wanita Islam yang berasal daripada Filipina tetapi mendapat kerakyatan Malaysia dan diberi taraf penduduk tetap bekerja di restoran Cina diberi gaji yang terlalu rendah dan dalam masa yang sama dipaksa memegang, memasak dan menghidang daging babi kepada pelanggan; serta diberi makanan tidak halal sedangkan mereka beragama Islam.

Untuk apa kita berbangga menyertai persidangan antarabangsa sekiranya wanita di negara kita diperdagangkan secara bebas tanpa sebarang kekangan daripada Unit D7 Bukit Aman yang hanya menjalankan serbuan ‘olok-olok’ secara terpilih.

Manakala ramai Ketua Puteri dan wanita UMNO pula terus terjebak dengan kegiatan tidak bermoral dengan suami orang atau menjalinkan hubungan dengan lelaki asing sehingga melahirkan anak luar nikah menjadikan UMNO sebagai parti tidak bermoral.

Sehubungan itu, saya meminta jasa baik Datin Seri Rosmah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi membantu wanita Sabah yang terjebak dengan Sindiket Pelacuran, Pengedaran Dadah, Pemerdagangan Orang dan buruh paksa agar masa hadapan mereka lebih terjamin.

Salam Hormat,

SITI MARIAM HAJI ABDUL LATIF

No comments:

Post a Comment