Friday 27 May 2011

KAUM MURUT TOLAK GERAN KOMUNAL




BANTAH…..Gambar Usar (kanan) bersama Ansapi menunjukkan salinan surat bantahan yang telah dikemukakan kepada Suhakam.

Oleh: NASUTION NAEJEL

JAWATANKUASA Penuntut Hak Asasi Tanah Adat (JPHAT) Rundum mendesak kerajaan khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman agar menimbang semula cadangan pemberian geran komunal kepada para penuntut bekas Tanah Adat (NCR) seramai lebih 200 keluarga sekiranya ianya dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan Mukim Rundum.

Pengerusinya, Gambar Usar, 67, berkata beliau sudah mendapat isyarat daripada para penuntut tanah adat bahawa mereka akan menolak hasrat kerajaan berhubung pemberian status geran komunal itu dengan alasan bahawa ianya hanya bersifat sementara.

“Kami sudah minta nasihat daripada pihak yang berpengalaman dalam soal status tanah termasuk Peguam. Rata-rata mengatakan geran komunal tidak mempunyai jaminan bahawa tanah itu sebagai hak mutlak kami secara jangka panjang,” kata beliau yang meminta penjelasan Jabatan Tanah dan Ukur.

Baru-baru ini, Gambar bersama Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kemabong, Sabini Ansumor dan beberapa Ahli Jawatankuasa JPHAT menghantar memorandum bantahan berhubung masalah tersebut kepada Pesuruhjaya Suhakam, Jannie Lasimbang di Pejabatnya di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, beliau difahamkan bahawa pihak Suhakam hanya akan memulakan penyiasatan aduan mereka termasuk lawatan Suhakam ke Kemabong pada 18 Jun, sedangkan pengumuman rasmi dan penyerahan geran komunal kepada para penuntut dijangka akan dilakukan semasa lawatan Perdana Menteri ke Kemabong pada 11 Jun, akan datang ini.

“Jadi, kita minta jasa baik Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman agar masalah pemberian geran komunal ini diselesaikan secara mutlak sebelum ianya diumum ketika lawatan PM ke sini,” kata Gambar dalam nada yang serius.

Paling penting, kata Gambar, kerajaan harus memberi penjelasan secara kolektif dan komprehensif mengenai Geran Komunal yang disifatkan sebagai geran sementara; sama ada boleh diganti dengan geran persendirian atau berasingan di kemudian hari kelak kerana setiap pewaris mahukan geran berada di tangan mereka sendiri.

Selain itu, Gambar turut menjelaskan bahawa tindakan mereka itu tidak bermaksud untuk menghalang usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah tuntutan mereka ke atas bekas tanah adat yang dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan.

Namun tambahnya, apa yang mereka kehendaki ialah hak secara saksama dan adil mengikut lunas perlembagaan agar perjuangan mereka selama ini tidak sia-sia kerana bukan sedikit Anak Negeri Sabah terperosok dalam lokap polis dan menderita sepanjang hayat.

“Mereka menang di mahkamah, tetapi tidak dapat apa-apa kerana tanaman, rumah dan harta mereka telah diradu atau dibakar Jabatan Perhutanan. Inilah yang kami bimbangkan kerana Jabatan Hutan masih menganggap kami penceroboh dan mempunyai kuasa autonomi,” ujar Gambar dengan nada kesal kerana aduan kepada Ketua Menteri seperti mencurah air ke daun keladi.

Kata Gambar, rakyat berpendapat Pengarah Jabatan Hutan lebih berkuasa daripada Ketua Menteri dan setiap surat rayuan atau aduan hanya dimasukkan ke tong sampah.

Namun selepas insiden Kg Imahit di Mukim Tomani, senario mula berubah setelah 6 pendudukdi hadapkan ke Mahkamah Majistret dan disabitkan kesalahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan lalu didenda RM1,000 setiap seorang; tetapi mereka memfail rayuan.

Mereka beruntung kerana Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan untuk mengenepikan penghakiman bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret; seterusnya membebaskan keenam tertuduh daripada hukuman tersebut dengan mengambilkira bahawa kawasan tersebut adalah berstatus NCR.

Ekoran daripada keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah mendorong kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman membuat keputusan untuk menyerahkan tanah-tanah NCR yang ada dalam kawasan Hutan Simpan dikeluarkan dan diberi kepada penduduk yang berhak melalui Geran Komunal.

Kawasan kawasan yang terlibat seperti Kg Sumambu, Kg Kapulu, Kg Katubu dan Kg Kabintaluan yang kesemuanya terletak di Mukim Rundum.

7 comments:

  1. Hope that the government can review these communal grants to give more assurance for these villagers.

    ReplyDelete
  2. harap pekara ini akan diselesaikan dengan sebaiknya. sebaiknya jika penjelasan berhubung geran komunal ini diberikan.

    ReplyDelete
  3. rasanya geran komunal ini akan menimbulkan satu pertikaian hak milik di kalangan penduduk suatu hari nanti.

    ReplyDelete
  4. para penduduk harus diperjelaskan mengenai geran tersebut. biar mereka tau kepentingan geran komunal.

    ReplyDelete
  5. Nampaknya pihak tertentu perlulah memberikan lebih penjelasan kepada penduduk apa itu Geran Komunal .Kerana jika tidak pasti pembangkang telah memutarbelitkan cerita berkenaan geran Komunal ini.

    ReplyDelete
  6. Geran ini sebenarnya memberikan kebaikkan kepada penduduk. Kerana geran ini tidak akan boleh dijual, susah untuk dirampas dan boleh diusahakan bersama. apa pun harap penduduk perlu memahami terlebih dahulu geran komunal ini.

    ReplyDelete
  7. sekiranya kerajaan tetap dengan keputusan menggunakan kaedah ini sebagai penyelesaian kepada isu tanah, kerajaan perlu tampil meyakinkan penduduk serta melakukan sedikit penambah-baikkan terhadap kaedah ini.

    ReplyDelete