Sunday 15 May 2011

KECURIAN BUAH SAWIT TIDAK TERKAWAL



KESAL......Ramlee kesal kerana kegiatan mencuri buah sawit di ladang Rancangan Sg Manila semakin menjadi-jadi.

OLEH: SHAIMON S JUMADI

KES curi buah sawit sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi dan kini telah menjadi satu topik cerita di sana sini oleh para pemilik ladang berkaitan. Adakah fenomena ini telah disedari oleh pihak polis atau sebaliknya?

Selain ladang sawit kepunyaan orang kampung Tanagian Lama Tungku, Lahad Datu yang menjadi mangsa kecurian buah sawit yang amat merunsingkan seperti yang dilaporkan di portal Sabahkini.Net baru-baru ini, kisah yang sama juga telah berlaku di Rancangan Sungei Manila, Sandakan.

Kecurian buah sawit di beberapa kawasan ladang berhampiran termasuk di rancangan Sungei Manila di Peringkat 1, Blok 8, Lot 53, kepunyaan Shukor Angguk turut menjadi mangsa keadaan.

Anak kepada salah seorang tuan punya ladang tersebut, Ramlee Shukor (gambar) memberi tahu kepada wartawan Sabahkini.Net kelmarin bahawa kecurian buah sawit di ladangnya semakin menjadi-jadi, bukan sekali bahkan dalam sebulan hampir empat kali berturut-turut.

Perkara ini, kata Ramlee sudahpun dilaporkan kepada pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) tetapi sehingga sekarang tiada sebarang reaksi dan tindakan diambil.

“Sejak berlakunya kecurian buah sawit dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ramai di kalangan peneroka dan tuan punya ladang terbabit telah mengalami kerugian besar kerana hasil tombakan buah sawit yang dikutip dalam sebulan tidak sampai satu tan,” jelas Ramlee.

Sebelum berlakunya kecurian itu, kata Ramlee, dalam tempoh sebulan tombakan buah sawit yang dijalankan sebanyak tiga pusingan mencecah sehingga 7 dan 8 tan.

“Ekoran masalah ini kerap berlaku, maka dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini kami hanya memperoleh pendapatan bulanan antara RM50.00 hingga RM100 sahaja daripada pihak LKTNS,” jelasnya.

Sehubungan itu, bagi pihak para peneroka yang menjadi mangsa kecurian buah sawit akan membuat rayuan agar LKTNS membentuk satu jawatankuasa bertindak khusus untuk memantau dan membanteras gejala tersebut agar tidak menular berpanjangan.

“Mencari rezeki dengan mudah untuk menyara hidup anak isteri dan keluarga melalui hasil curian buah sawit milik orang lain, hukumnya haram memang tidak diredhai Allah. Saya memohon kepada mereka yang terlibat melakukan perbuatan keji ini agar berhenti dari sekarang kerana memakam hasil pencarian haram tidak berkat. Walaupun sebanyak mana yang kamu peroleh itu, Allah akan melaknati mereka yang mungkar,” jelas Ramlee dengan panjang lebar.

No comments:

Post a Comment