Thursday 5 May 2011

KJ PERLU JELASKAN KENAPA AZMAN DIPECAT



Oleh: NASUTION NAEJEL

PEMECATAN seseorang pemimpin dalam parti, meskipun parti itu di pihak kerajaan mahupun pembangkang adalah ‘lumrah’ dan satu perkara biasa dalam politik; namun di setiap tindakan pemecatan itu mestilah mempunyai alasan yang kukuh, sebaliknya ia tidak boleh dilakukan secara mendadak.

Demikian luahan kekecewaan mantan Pegawai Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Tenom, Mohd Redzuan @ Ansabong yang terkejut dengan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin (KJ) memecat Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Azman Haji Ruslan baru-baru ini tanpa memberi penjelasan yang munasabah.

Tindakan Khairy Jamaluddin itu kini menjadi persoalan di mata rakyat, khususnya Pergerakan Pemuda Umno kerana tindakan itu tidak wajar dilakukan sedangkan Azman Haji Ruslan sebelum ini tidak pernah diberi surat tunjuk sebab, mahupun dipanggil membela diri sekiranya beliau melanggar disiplin parti yang melibatkan pemecatan.

“Saya meminta Khairy Jamaluddin memberi penjelasan kepada Pergerakan Pemuda Umno, khususnya di pedalaman yang menjadi perwakilan mengangkat Azman selaku pemimpin pemuda Umno Sabah. Jikalau tidak, sudah tentu pelbagai lapisan masyarakat akan memberi persepsi negatif terhadap pemecatan Azman yang dianggap oleh banyak pihak sebagai pemimpin yang tidak berdosa,” tegas Redzuan.

Sepatutnya Khairy bangkit untuk membela rakan-rakannya yang teraniaya dengan pelbagai fitnah yang dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan yang mahu melihat Umno rebah atau setidak-tidaknya Khairy memanggil Azman untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripadanya sebelum tindakan dilakukan.

“Kenapa UMNO atau Khairy harus takut dan gentar dengan baying-bayang sendiri hanya kerana pergolakan LDP dengan Ketua Menteri Sabah yang belum tentu Azman ada terlibat dengan krisis itu? Mengapa Azman dikaitkan pula dengan Menteri KKLW Datuk Shafie Apdal? Kalau ada ‘angle’ boleh mempercayai khabar angin itu, mengapa tidak adakan siasatan terlebih dulu dan mengapa terus memecatnya,” tambah Redzuan dengan tegasnya.

Menurut Redzuan, lebih ramai pemimpin pergerakan pemuda Umno di peringkat akar umbi akan tampil memberi sokongan padu kepada Azman seterusnya menggesa Khairy Jamaluddin agar memberi penjelasan kepada mereka sebab-sebab pemecatan Azman.

“Khairy tidak boleh mendiamkan diri dalam soal ini dan beliau kena turun padang menjelaskan perkara tersebut. Perlantikan Ketua Pemuda Umno Sabah yang baru Haji Awang Kadin Tang tidak sah kerana tidak mendapat restu daripada Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Sabah sebelum beliau dilantik ke jawatan itu,” katanya lagi.

“Saya menyokong Azman kerana yakin dengan kewibawaannya memimpin Pergerakan itu berdasarkan kredibilitinya sebagai seorang Peguam, pemimpin muda dan bersih daripada pelbagai masalah peribadi yang boleh diharap untuk memacu kekuatan Umno di Sabah,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment