Saturday 28 May 2011

KONTRAKTOR CINCAI, HARAPAN RADIN BERKECAI



HILANG……Radin kesal tindakan pihak tidak bertanggung jawab sehingga penutup parit hilang dan boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai.

Oleh: SIMON MAMAT

PENGASPALAN semula jalanraya di pekan Tenom yang dibuat secara ‘cincai’ atau tidak berkualiti membuat Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh terkilan dan meminta pihak Majlis Daerah agar menghubungi pihak bertanggung jawab, khususnya kontraktor terbabit supaya membetulkan keadaan tersebut dengan secepat mungkin.

Katanya, beliau kesal dengan keadaan berlaku seperti itu setelah beliau melihat sendiri dengan jelas kerana anak-anak batu masih kelihatan tidak diselimuti minyak tar malah boleh terkopek pada bila-bila masa sahaja.

Radin menegaskan, bahawa keadaan seperti itu perlu diperbetulkan dengan sebaik mungkin kerana selagi ianya berkeadaan sedemikian, selagi itu masyarakat sekeliling yang senantiasa memerhati keadaan itu merungut dan membuat tomahan kepadanya.

“Ini bukan omongan kosong daripada rakyat bila merungut dan menyampaikan tohmahan kepada saya berhubung perkara ini, kerana rakyat sebagai pengguna berhak menilai kualiti kerja yang dilaksanakan,” kata beliau ketika turun padang memantau kerja-kerja pengaspalan semula jalanraya kawasan pekan Tenom pagi tadi.

HILANG……Lorong Blok ‘C’ sepanjang hampir 200 meter tidak ada dalam senarai kontraktor untuk diselenggarakan.

Turut sama dalam lawatan itu, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom, Wolfred Gentiu; Pengerusi Jawatankuasa kecil Lanskap dan keceriaan, Haji Dzulkifli Empin; Pengerusi JK kecil Lalulintas Nissil Basayu; Pemaju Mukim Simon Mamat dan Pengerusi JKDB Kapitan Liew Foh Sin.

Lawatan turun padang beliau itu ekoran terdapat beberapa tohmahan daripada masyarakat sekeliling khususnya warga pekan yang tidak berpuas hati dengan kualiti kerja yang dilaksanakan kontraktor terbabit yang dilihat mereka seakan-akan tidak memenuhi piawaian mutu kerja.

Radin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Melalap seterusnya berkata, bahawa pihak tertentu khususnya Majlis daerah diharuskan mengambil tindakan serius dengan menghubungi kontraktor terbabit bagi membetulkan keadaan tersebut supaya ianya tidak akan menjadi kepincangan di mata rakyat yang senantiasa berada sekeliling memerhatinya.

Selain itu, beliau ingin melihat kebersihan senantiasa diambil perhatian dan perlu dijadikan keutamaan kerana jika pekan diselimuti oleh debu, sampah sarap dan bau busuk tidak mungkin pelancong akan selesa berkunjung ke pekan ini, malahan mereka akan menjauhkan diri.

“Kita juga mahu longkang-longkang tidak tersumbat dengan sampah dan kakilima bahagian belakang perlu dibersihkan supaya tidak berbau busuk. JKDB juga perlu bantu Majlis kawal kebersihan,” tegas Radin.

CINCAI….. Radin menyifatkan kerja-kerja yang dilaksanakan secara ‘cincai’ melanggar akta kontrak dan wajar disiasat.

Dalam pada itu, Radin mengarahkan pihak JKDB supaya berkerjasama dengan pihak Majlis Daerah untuk mendaftarkan kepada Kekal Mewah Sdn Bhd berhubung satu lorong di blok ‘L’ yang difahamkan tidak tersenarai dalam bidangkuasa syarikat itu untuk kerja kerja penyelenggaraan.

“Kita hairan kenapa lain lain lorong dalam kawasan pekan semuanya kena lapis aspal tapi lorong blok ‘L’ masih terbiar, rupa-rupanya ia tidak ada dalam senarai pihak kontraktor yang melaksanakan kerja kerja pengaspalan itu,” tegas beiau.

Sementara itu, Haji Dzulkifli Empin ketika memberitahu Datuk Radin berkata bahawa kerja-kerja menyusunatur lanskap dan keceriaan pekan hanya akan berlaku sebaik sahaja kerja-kerja pengaspalan semula selesai dijalankan oleh pihak kontraktor.

Begitu juga JK kecil Lalulintas di bawah jagaan Nossil Basayu yang akan melaksanakan pelan perancangan berhubung tanda-tanda keselamatan lalulintas yang telah pun dibincangkan di dalam mesyuarat penuh Majlis Daerah sebelum ini.


No comments:

Post a Comment