Friday 20 May 2011

KURUP DAN PBRS HILANG WIBAWA?



Oleh: FAIZAL OKADAU

KENYATAAN terbuka Naib Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi supaya Parlimen Pensiangan Sabah diberikan pada UMNO pada pilihanraya umum nanti menunjukkan bahawa PBRS di bawah pimpinan Tan Sri Joseph Kurup amat lemah dan langsung tidak berwibawa.

Perkara ini dilontarkan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Hisammuddin Sulaiman, yang juga merupakan YDP Pas kawasan Keningau.

“Jika datang ke Parlimen Pensiangan kita boleh mengimbau pembangunan tahun 60- an, jalan raya utama kebanyakkannya masih belum berturap dan kekurangan prasarana,” kata Hishamuddin, PBRS juga gagal memajukan Parlimen Pensiangan yang mempunyai hasil mahsyul yang bernilai tinggi.

Sebelum ini, Pas Sabah pernah membongkar aktiviti pembalakan haram di kampung Batu Lugiyan Sook di bawah Parlimen Pensiangan serta pencemaran punca bekalan air penduduk kampung di Dun Sook.

Pendedahan tergempar itu, kata Hishamuddin tidak ada tindakan daripada Tan Sri Joseph Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar.

Kata Hishamuddin lagi, Joseph Kurup juga merupakan ahli parlimen yang menang melalui proses mahkamah juga dilihat mempunyai akauntabiliti yang lemah dan perkara ini dilihat apabila sambutan dingin rakyat di program seperti Program Unduk Ngadau yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook Sabah baru-baru ini.

Permintaan UMNO menggantikan PBRS seolah-oleh memukul gendang yang sama dan corak yang sama dari segi pemerintahan yang akhirnya memberi kesan pembangunan yang tidak seimbang kepada rakyat Pensiangan.

“Bagi PAS parti mana sekali pun, lawan tetap lawan namun, kelemahan pimpinan Joseph Kurup menjadikan Pensiangan akan diambil alih UMNO dan kita tahu UMNO juga ada strategi tersendiri untuk menjadikan tempat itu di bawah naungan mereka,” ujar Hisammuddin.

No comments:

Post a Comment