Friday 20 May 2011

‘LANUN CINA’ JADI SENATOR, UJIAN GETIR BN



Oleh: DRS SHAKUR MOHAMMAD

PERLANTIKAN ‘Lanun Cina’, gelaran untuk Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin sebagai ‘Senator’ merupakan ujian getir bagi BN Sabah menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Perlantikan ini akan menjadi ‘pencetus aliran sokongan’ disebabkan Chin sebelum ini melontarkan kritikan terbuka ‘Ala-Lanun’ yang tidak beradab terhadap Perdana Menteri dan mendesak pemecatan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, ekoran kehilangan banyak kerusi BN kepada Pakatan Rakyat di Sarawak.

Aktivis Politik Sabah, Abdullahsani Haji Abdul Salleh berpendapat demikian ekoran ura-ura Chin diberitakan sudah menandatangani surat perlantikan ‘Senator’ bagi menggantikan kekosongan kerusi Senator yang ditinggalkan Datin Naomi Chong sejak sekian lama.

“Chin adalah pencetus huru-hara di dalam BN dan sentiasa menjadi kayu api untuk membakar permuafakatan yang terjalin erat di dalam BN Sabah selama ini, mendapat semangat daripada limpahan projek yang dianugerahkan oleh Menteri KKLW; demi melaksanakan agenda politik tersirat, yang kini boleh dibaca rakyat Sabah,” kata Abdullahsani yang menyebut kerakusan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah sebagai faktor penyebab.

Tegas Abdullahsani, Shafie tidak mampu untuk bersabar lebih lama lagi kerana jika beliau tidak menjadi Ketua Menteri Sabah, beliau akan kehilangan semua jawatan memandangkan riwayat hidup beliau bergantung kepada jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO.

Bagi mengekalkan kuasa, mahu tidak mahu, kata Abdullahsani, Shafie terpaksa berhempas pulas atau berhabisan menentang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dengan apa juga cara, termasuk rampasan kuasa melalui parti komponen BN kerana hubungan yang rapuh; kini semakin reput dengan umpanan projek yang dimiliki KKLW.

“Dalam keadaan tidak ada seorangpun daripada 59 Adun BN, 24 Ahli Parlimen dan 24 Ketua UMNO Bahagian di Sabah yang berani menentang keganasan dan perlantikan ‘Lanun Projek’ (Chin), maka BN Sabah berada di ambang kehancuran jika Najib benar-benar melantik Chin sebagai Senator,” ujar Abdullahsani.

Kata Abdullahsani, Shafie tidak mempunyai kekuatan untuk merampas kuasa kerusi Ketua Menteri tetapi ketiadaan ‘Pahlawan’ untuk membentengi Musa Aman dan BN Sabah menyebabkan Shafie berani melakukan perang saraf dengan menjadikan Chin, Datuk Rahim Ismail dan Datuk Peter Anthony sebagai ‘lidah rasmi’ beliau yang tersimpul di sebalik umpanan projek; demi untuk memusnahkan kerjaya politik Musa Aman.

Shafie, kata Abdullahsani, bukan sahaja berjaya menjinakkan pemimpin LDP, UPKO, PBS, PBRS dan pemimpin UMNO Sabah; malah pemimpin pembangkang yang tidak langsung berminat untuk membuat laporan polis dan SPRM terhadap amalan rasuah secara terang-terangan yang dilakukan Shafie selama ini.

“Kelemahan pembangkang semakin ketara kerana suara mereka timbul tenggelam dilambung ombang politik, terutama PKR, menyebabkan Shafie semakin kuat melalui perang saraf dengan menyerang dan menceroboh kawasan pemimpin UMNO lain tanpa meminta izin atau menjalinkan kerjasama,” kata Abdullahsani yang mengakui gerak gempur seperti ini menyebabkan jurang kesepakatan BN semakin melebar.

Mungkin bagi Shafie, kata Abdullahsani, Badan Perhubungan UMNO Sabah tidak penting, tetapi kepercayaan Presiden UMNO terhadapnya, terutama menjadikan dirinya sebagai ‘pemain catur’ untuk menentang Musa Aman melalui kaedah paling licik, telah menjadikan beliau semakin popular melalui serangan ‘Ala-Lanun’, kerana sebelum ini Najib pernah menggelarkan Shafie sebagai ‘Lanun’.

“Jika penderhaka atau lanun (Chin) yang menyerang BN boleh dilantik sebagai Senator, maka selepas ini menunjukkan indikator yang jelas bahawa Najib merestui Shafie dan tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Musa,” ujar Abdullahsani lagi.

Sementelahan itu, rakyat Sabah akan mengalami kerugian yang amat besar kerana kehilangan satu-satunya Ketua Menteri Sabah yang berwibawa dan telah berjaya mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri kerana belum pernah dalam sejarah kemerdekaan Sabah mempunyai rizab tunai lebih RM10 billion.

“Soal Sabah dikategorikan sebagai negeri termiskin di Malaysia bukanlah kayu ukur kerana senario itu menunjukkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membangunkan Sabah dan menangani isu PATI serta ketidak-mampuan Shafie untuk membangunkan luar bandar Sabah, disebabkan banyak projek berpenyakit dan bocor di Sabah,” tegas Abdullahsani yang agak kesal jika kebimbangannya ini benar-benar berlaku.

Setakat ini, kata Abdullahsani, dari segi undang-undang, Musa masih bersih daripada sebarang skandal atau kes jenayah kerana belum dihadapkan ke mahkamah, apatah lagi segala pertuduhan terhadap Musa sebelum ini didalangi Shafie yang menggunakan kedudukan anak saudaranya sebagai Ketua Pemuda PKR dan pemimpin PKR; maka Najib tidak boleh menjadikan alasan laporan polis dan SPRM yang dibuat oleh tokoh politik sebelum ini; untuk menjatuhi hukuman terhadap Musa Aman.

“Rakyat Sabah tahu bahawa Shafie telah menyalahguna kuasa dan kedudukan beliau sebagai Menteri KKLW dan Naib Presiden UMNO, namun ketiadaan pembangkang yang kuat di Sabah menyebabkan Shafie dilihat sebagai ‘bersih’ sekalipun berbau busuk,” kata Abdullahsani yang memberi amaran gegaran politik yang dihasilkan Shafie boleh menghasilkan tsunami dalam politik Sabah, terutama merealisasikan rampasan kuasa.

Sejak menjadi Naib Presiden UMNO, kata Abdullahsani, Shafie telah meletakkan dirinya begitu tinggi mengatasi Presiden UMNO kerana tidak pernah menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah dan boleh sewenang-wenangnya menceroboh ‘sempadan pengaruh politik’ Ketua UMNO Bahagian di Sabah.

Sehubungan itu, kata Abdullahsani, beliau tidak hairan jika UMNO dan BN akan kehilangan banyak kerusi pada pilihanraya umum akan datang, sekalipun mempunyai ‘fixed-deposit’ jika impian Shafie menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Ketua Menteri Sabah direstui Najib; yang ketika ini dalam keadaan ditelan mati emak, diluah mati bapak.

“Sebelum semua kebimbangan ini menjadi kenyataan, Adun, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian di seluruh Sabah harus dikejutkan daripada lena yang panjang agar tidak menyesal kelak. Belajarlah menjadi harimau walau satu hari daripada menjadi kambing seumur hidup,” kata Abdullahsani dengan nada agak pilu.

No comments:

Post a Comment