Tuesday 31 May 2011

LDP TENOM SOKONG MUSA AMAN!



Oleh: NASUTION NAEJEL

SANDIWARA politik sudah berlalu, kini LDP Tenom menumpukan perjuangannya untuk mengukuhkan semula jentera parti itu untuk membantu jentera BN di Tenom bagi menghadapi pilihanraya umum kali ke-13 yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

Gesaan tersebut dinyatakan Ketua Bahagiannya, Kapitan Ng Tet Hau ketika menghadiri perasmian mesyuarat Pergerakan Pemuda Umno Tenom yang dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Kapitan Ng seterusnya menegaskan bahawa kepimpinan LDP Tenom menyokong penuh saranan Presidennya, Datuk V.K Liew baru-baru ini bahawa sudah sampai masanya untuk mereka mengetepikan segala perbalahan dalam politik selama ini dan sebaliknya bertaut semula untuk mempastikan kemenangan BN pada PRU13 kelak.

“Bagi kami di sini, tumpuan ialah terus memberi sokongan kepada BN tidak kira siapa yang bakal dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Tenom, DUN Melalap dan Kemabong. LDP tetap sokong seratus peratus,” tegas Kaptan Ng lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) LDP seterusnya berkata, jentera LDP Tenom sudah pun digerakkan semula dan akan turun padang berkuatkuasa serta merta untuk mendekati ahli dan pengundi di kawasan Tenom supaya mengekalkan sokongan mereka kepada BN.

Ketika ditanya berhubung perbalahan politik di antara Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dengan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman; Kapitan Ng berkata beliau tidak dapat memberi ulasan lanjut berhubung perkara tersebut dengan lebih jelas kerana di luar bidangkuasa beliau.

“Presiden LDP sudah menyatakan bahawa kita semua wajib terus memberi sokongan kepada kepimpinan BN, termasuklah BN Sabah,” tegas beliau yang merujuk kepada Musa Aman.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung LDP, Datuk Teo Chee Kang berhubung kes Akjan yang menabalkan dirinya sebagai ‘Sultan Sulu’ beberapa bulan lalu, yang meminta pihak berkuasa negara ini memandang serius isu ini termasuk mengusir segera Akjan kembali ke negara asalnya.

Kapitan Ng menegaskan, perlakuan Akjan sudah jelas telah mempersendakan sistem perundangan di negara ini; malah jika Akjan dibiarkan terus berada di negara ini, dibimbangi akan mengancam keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment